Bangi, 30 OKTOBER - Program Pengurusan Hal Ehwal Islam (PPHEI), Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Kampus Utama Bangi telah menganjurkan Seminar Halal dan Toyyib Pemangkin Sahsiah dan Industri yang berlangsung pada 30 Oktober 2024 di Dewan Datuk Mohd Shahir ILIM Kampus Utama Bangi. Seminar ini telah dihadiri seramai 350 orang peserta yang terdiri daripada Pegawai Hal Ehwal Islam JAKIM, Jabatan Agama Islam Negeri-negeri dan penjawat awam daripada pelbagai kementerian dan jabatan.
Pelaksanaan seminar berobjektif bagi meningkatkan pengetahuan dan kefahaman berkaitan halal Malaysia sebagai pemangkin sahsiah dan industri. Sekalung penghargaan kepada semua panel iaitu YBrs. Ustaz Mohd Amri bin Abdullah, Ketua Penolong Pengarah Kanan MyHAC JAKIM, YBrs. Dr. Mohammad Razli bin Abd. Razak, Pengarah Bahagian Regulatori Veterinar Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan YBrs. Prof. Madya Dato' Dr. Mohd Izhar Ariff bin Mohd Kashim, Timb. Dekan (Jaringan & Alumni) Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Seminar ini telah memfokuskan kandungan utama yang berkaitan dengan konsep Kecaknaan Logo Pensijilan Halal Malaysia Pemangkin Sahsiah & Industri, Peranan Veterinar Memastikan Amalan Halal Dalam Sektor Agroindustri dan Fiqh Kepenggunaan dalam Kelestarian Kehidupan yang bukan sahaja melibatkan aspek keagamaan tetapi juga memberi impak kepada pembangunan sahsiah dan kemajuan industri halal di Malaysia
Harapan ILIM agar seminar ini berjaya meningkatkan pengetahuan dan kefahaman peserta berkaitan kepentingan halal dan toyyib sebagai pemangkin sahsiah dan kemajuan industri. Pensijilan halal Malaysia telah memberikan jaminan bahawa sesuatu produk telah memenuhi standard tertentu disamping kualiti dan keselamatan yang mendatangkan manfaat kepada industri dan pengguna.