Bangi, 30 Oktober 2024 - Institut Latihan Islam Kampus Utama Bangi melalui Seksyen Pembangunan Sahsiah dan Organisasi, Pusat Kecemerlangan Kepimpinan Islam (PKKI) telah menganjurkan Kursus Smart Integriti.
Program ini diadakan pada 28 hingga 30 Oktober 2024 (Isnin-Rabu) bertempat di Bilik Kuliah Ibnu Khaldun, Blok Akademik A, Institut Latihan Islam Malaysia Kampus Bangi (IKUB). Kursus ini dihadiri oleh peserta dari agensi-agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang terdiri daripada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam (YAPIEM), Yayasan Dakwah Islamiah (YADIM), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (MSWPKL), Lembaga Tabung Haji (LTH), Jabatan Arah Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT), dan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS). Objektif kursus ini adalah untuk meningkatkan penghayatan nilai-nilai integriti sebagai tonggak maruah diri dan organisasi ke arah merealisasikan agenda Transformasi al-Falah serta memperkukuh kerjasama dalam membentuk organisasi yang cemerlang melalui penghayatan nilai-nilai al-Falah dan integriti.
Kursus ini telah menggunakan khidmat penceramah dan fasilitator daripada ILIM Kampus Utama Bangi, Bahagian Khidmat Pengurusan Kementerian Ekonomi dan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard.
Antara pengisian yang berlangsung selama tiga hari 2 malam ini ialah slot ice breaking dan gamifikasi, ceramah Interaktif al-Fatihah & Jati Diri Asas Integriti, Qudwah Integriti, explorace integrity dan Muhasabah Integriti-Azam & Janji.
Semoga penganjuran kursus ini dapat memperkukuh penghayatan nilai-nilai integriti dan al-Falah di semua peringkat gred jawatan Kumpulan Pengurusan dan Profesional dan Kumpulan Pelaksana bagi mencapai tahap kecemerlangan yang lebih tinggi selari dengan prinsip dan nilai integriti dalam perkhidmatan awam. Penutupan program disempurnakan oleh Puan Shukreyah binti Zawawi, Ketua Penolong Pengarah Kanan Pusat Kecemerlangan Kepimpinan Islam, ILIM Kampus Utama Bangi.