Bangi, 23 Oktober 2024 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) JAKIM Kampus Utama Bangi melalui Program Teras, telah berjaya melaksanakan Seminar Pengukuhan Akidah: Membugar Fikrah Rabbani yang berlangsung selama separuh hari bermula pada jam 8.00 pagi sehingga jam 1.00 tengah hari.
Seminar ini adalah bermatlamat antara lainnya untuk meningkatkan kesedaran mengenai fitnah akidah yang berlaku di Malaysia serta membincangkan langkah-langkah mencegah fitnah tersebut. Isu akidah semasa yang menjadi cabaran kepada kefahaman masyarakat Islam di negara kita adalah gerakan batiniah dan liberalisme. Para peserta diingatkan supaya berpegang teguh dengan akidah Islam yang benar dan berhati-hati dari terpengaruh dengan sebarang ajaran sesat berunsur batiniah dan liberal yang tersebar di dalam negara.
Seramai 276 orang Pegawai Hal Ehwal Islam pelbagai gred dari JAKIM, JAIN, Jabatan Mufti, KAGAT dan lain lain skim telah menyertai kursus ini.
Seramai tiga orang penceramah yang pakar dalam bidang akidah telah dijemput untuk berkongsi ilmu pengetahuan, kemahiran dan pengalaman masing-masing. Mereka adalah Dr. Abdul Rahman bin Mahmood (UKM), Dr. Mohammad Nidzam bin Abdul Kadir (UPM) dan Prof Madya Dr. Khalif Muammar A. Harris (UTM). Tajuk tajuk yang dibincangkan adalah Akidah Sejati Membangun Insani, Ajaran Batiniah: Observasi menerusi Lensa Akidah dan Liberalisme Dalam Islam : Kebebasan atau Kekeliruan?
Seminar ini turut menjelaskan mengenai kepentingan kerjasama semua pihak memelihara agama Islam yang termaktub di dalam perkara 3 Perlembagaan Persekutuan. Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 5 Mei 1996 juga telah menetapkan bahawa “Umat Islam di Malaysia hendaklah hanya mengikut ajaran Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari segi Aqidah, Syariah dan Akhlak”. Seminar menyarankan agar peserta mendalami ilmu berkaitan akidah Ahli Sunnah Wal Jammah dan menerap kefahaman Islam yang sebenar ini di dalam kehidupan agar selamat di dunia dan akhirat.