WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :

BANGI, 22 Oktober 2024 – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) telah mengadakan kunjungan hormat ke Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) hari ini. Kunjungan ini bertujuan untuk memperkukuh jalinan kerjasama antara kedua-dua institusi dalam usaha memperkembangkan program dan latihan pengurusan hal ehwal Islam di Malaysia.

Delegasi YADIM yang diketuai oleh YBrs. Tuan Kapten Shamsuddin Moner disambut mesra oleh Pengarah Kanan ILIM, Puan Nor Safina Zainal. Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pihak telah membincangkan pelbagai inisiatif dan program yang boleh dilaksanakan bersama, termasuk latihan, seminar, dan program penambahbaikkan sumber manusia.

"Kerjasama ini penting dalam usaha kita untuk memperkasakan dakwah di negara ini. Kami berharap dapat melaksanakan program yang lebih banyak dan berkesan," kata Tuan Kapten Shamsuddin Moner dalam pertemuan ini.

Dengan jalinan kerjasama yang lebih erat, diharapkan dapat menghasilkan lebih banyak Pendakwah/Daie dan program yang bermanfaat untuk masyarakat.

Delegasi juga turut dibawa melawat Galeri Falak Syeikh Abdul Aziz An-Nayyiri , Falak Competency Training Centre (FALCOM), ILIM yang berkonsepkan inovasi dan kreativiti memaparkan lima (5) seksyen utama iaitu seksyen falak alam melayu, seksyen takwim hijri, seksyen arah kiblat & waktu solat, seksyen objek samawi serta seksyen artifak & audio visual.

Kunjungan ini diakhiri dengan sesi pertukaran cenderamata antara kedua-dua pihak sebagai simbolik kerjasama yang terjalin.