Bangi, 18 Oktober 2024 – Telah berlangsung Majlis Perasmian Penutup Kursus Al-Qawiyy Al-Amin kepada Pegawai Hal Ehwal Islam Ehwal Islam Gred S41 dan Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam S29 Lantikan Baharu JAKIM Siri 2/2024 yang disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Dr. Sirajuddin bin Suhaimee, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Turut hadir dalam majlis perasmian ini Puan Nor Safina binti Zainal, Pengarah Kanan ILIM, wakil-wakil Pengarah Bahagian JAKIM serta pegawai-pegawai kanan JAKIM dan ILIM.
Bermula 14 hingga 18 Oktober 2024, seramai 48 orang peserta yang terdiri daripada 29 lelaki dan 19 wanita daripada kalangan Pegawai Hal Ehwal Islam Gred S41 dan Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam Gred S29 lantikan baharu JAKIM telah mengikuti Kursus Al-Qawiyy Al-Amin bertempat di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Kampus Utama Bangi.
Program yang bersifat berpenginapan penuh (fully residential) ini merupakan salah satu kursus Kompetensi Teras Utama yang diwajibkan sebagai sebahagian syarat untuk diperakukan oleh Ketua Perkhidmatan bagi tujuan pengesahan dalam perkhidmatan.
Dalam majlis ini YBhg. Ketua Pengarah JAKIM turut menyampaikan surat penempatan kepada para peserta. Dalam ucapan amanat perasmian, YBhg. Ketua Pengarah JAKIM mengingatkan para peserta supaya sentiasa cakna dengan peranan dan tanggungjawab yang digalas demi memelihara syiar Islam sebagai ad-Din dan reputasi serta imej institusi Islam supaya sentiasa disegani, dihormati, dipercayai dan kekal relevan dalam menghadapi apa jua cabaran situasi semasa. Beliau turut menasihatkan agar mempasakkan nilai kebersamaan serta menghayati “NILAI BERSAMA JAKIM” dalam melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi selaras dengan peranan JAKIM selaku peneraju pengurusan hal ehwal Islam di Malaysia. Beliau juga berharap agar peserta dapat menonjolkan imej dan potensi yang ada dalam diri, yakin diri dan konsisten mengorak langkah secara optimis, berani mencuba sesuatu yang baru serta bekerjasama dalam satu pasukan. Ini kerana pegawai baru ini umpama kain putih yang mampu mencorak masa depan yang lebih gemilang.
Dalam kursus selama 5 hari ini, pelbagai pengisian dan aktviti telah disusun dan dikendalikan oleh fasilitator yang terdiri daripada pegawai JAKIM dan ILIM dalam memastikan objektif kursus yang ditetapkan dapat dicapai. Para peserta telah memberi komitmen dan kerjasama yang baik di sepanjang program berlangsung. Semoga setiap falsafah di sebalik aktiviti-aktiviti dalam kursus tersebut mampu diaplikasi dalam tugasan mereka di penempatan masing-masing.
Tahniah kepada semua peserta!