BANGI, 16 Oktober 2024 - Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Utama Bangi melalui Pusat Kecemerlangan Kepimpinan Islam (PKKI) telah melaksanakan Kursus Persediaan bagi peserta yang akan menghadiri Kursus Pengurusan Dakwah dan Pengendalian Fatwa di Mesir yang akan berlangsung pada 20 Oktober hingga 20 Disember 2024.
Objektif kursus ini ialah untuk memberi pendedahan berkaitan penggunaan Bahasa Arab harian di Mesir, sesi perkongsian pengalaman oleh peserta yang telah menghadiri kursus ini serta taklimat perjalanan dan pergerakan peserta di Mesir.
Seramai Sembilan (9) orang peserta yang telah hadir secara bersemuka terdiri daripada Pegawai Hal Ehwal Islam daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Majlis Islam Sarawak, Jabatan Agama Islam Sarawak, Jabatan Agama Islam Perak, Jabatan Agama Islam Pulau Pinang, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, Jabatan Agama Islam Negeri Pahang dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.
Kursus dimulakan dengan Taklimat Kursus Luar Negara yang disampaikan oleh Penolong Pengarah Kanan PKKI, Puan Noraine binti Hamzah. Seterusnya, sesi Perkongsian Pengalaman Peserta Kursus Tahun 2023 oleh Encik Majdi bin Mohamad Nor, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Keurusetiaan dan Hubungan Luar, JAKIM.
Taklimat Keperluan dan Persediaan Menghadiri Kursus di Mesir telah disampaikan oleh Encik Ameer Ikhwan bin Zaini, Atache Agama, Kedutaan Besar Malaysia di Republik Arab Mesir. Manakala sesi Pendedahan Penggunaan Bahasa Arab Harian di Mesir telah disampaikan oleh Encik Mohamed Kamal Abdel Rahman Abdalla.
Semoga kursus ini memberi manfaat kepada semua peserta yang akan berkursus di Mesir nanti.