WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :
Bangi, 16 Oktober 2024 – Latihan kompetensi profesional falak telah melangkah ke fasa baharu dengan penganjuran program Falak Fest 2024 yang telah berlangsung dengan jayanya anjuran Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM). Acara yang julung kali diadakan ini bertemakan "Transformasi Profesionalisme Falak" merupakan medan penting dalam merevolusikan latihan dalam bidang falak di Malaysia.
 
Dengan gabungan teknologi canggih dan ilmu falak tradisional, program ini membuka peluang kepada para profesional, akademik, serta peminat falak untuk meneroka masa depan bidang ini dalam era Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) dengan lebih meluas.
 
Objektif penganjuran program ini adalah untuk memberi pendedahan kepada Pegawai Hal Ehwal Islam JAKIM, MAIN, JAIN, Jabatan Mufti dan agensi-agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan agensi-agensi kerajaan terutamanya serta peminat falak mengenai transformasi latihan dalam perkhidmatan pengurusan hal ehwal falak era IR4.0, memberi kefahaman mengenai mekanisme pengantarabangsaan industri falak serta membina inspirasi dalam meningkatkan pengetahuan dan kemahiran bidang falak secara berterusan melalui latihan sepanjang hayat.
 
Program ini menampilkan lima panelis terkemuka falak iaitu YBhg. Dato’ Profesor Dr. Mohammad Ilyas bin Haji Shahabuddin yang membentangkan tajuk Renaissance of Islamic Science & Technology, YBhg. Sahibus Samahah Datu Haji Kipli bin Haji Yassin, yang membincangkan tajuk Pengantarabangsaan Industri Falak: Peluang, Cabaran dan Strategi, YBrs. Tuan Haji Syed Kamarulzaman bin Syed Kabeer yang membahaskan tajuk Penerokaan Warisan Sains Islam Kompetensi Falak, YBrs. Ts. Dr. Muhamad Syazwan bin Faid telah mengupas tajuk Transformasi Falak dalam Teknologi Digital dan YBrs. Dr. Baharrudin bin Zainal yang turut menjelaskan tajuk Pemerkasaan Aplikasi Falak Menggunakan Sumber Tradisi dan Kontemporari.
 
Majlis ini telah dirasmikan oleh YBhg. Dato’ Dr. Sirajuddin bin Suhaimee, Ketua Pengarah JAKIM, yang menekankan dalam ucapannya bahawa Falak Fest 2024 bukan sekadar program biasa, tetapi satu manifestasi penting ke arah memperkasakan kompetensi profesional dalam bidang falak.
 
Dalam era IR4.0, kemajuan teknologi seperti Kecerdasan Buatan (AI) dan Big Data memainkan peranan penting dalam meningkatkan ketepatan dan efisiensi bidang ini. Program Falak Fest juga menampilkan pelbagai aktiviti, termasuk pameran dari Jabatan Mufti, universiti, dan persatuan-persatuan falak serta diskusi falak yang membicarakan tajuk Normalisasi Kelestarian Warisan Alam. Kupasan dari 3 panel iaitu YBrs. Dr. Mohd Hafiz bin Safiai, YBrs. Dr. Ahmad Irfan bin Ikmal Hisham dan YBrs. Dr. Muhammad Amri bin Abdul Karim turut memberikan impak besar terhadap peserta seramai 208 orang yang hadir sepanjang program ini berlangsung seterusnya memperluaskan minat dan komitmen terhadap aplikasi falak dalam kehidupan seharian. Dengan adanya inisiatif program seperti ini, diharapkan Malaysia dapat melahirkan lebih ramai pakar dalam bidang falak yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa, sekaligus menyumbang kepada kemajuan sains dan teknologi negara.