Bangi, 11 Oktober 2024 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) melalui Pusat Kecemerlangan Kepimpinan Islam telah menghantar seramai 23 orang perunding latihan Islam ILIM bagi mengikuti Kursus Pembangunan Aplikasi Gamifikasi Falak. Kursus yang diadakan pada 7 hingga 11 Oktober 2024 di Pulau Pangkor itu adalah sebagai satu platform untuk membangunkan kompetensi dan kemahiran perunding latihan ILIM dalam bidang Falak. Ia merupakan satu program di bawah Program Latihan Tenaga Pengajar Institut Latihan Awam (ILA) Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Objektif kursus ini adalah untuk memberi pendedahan mengenai konsep latihan pembangunan aplikasi gamifikasi maya falak, memahami fungsi dan kelebihan aplikasi falak, meningkatkan kemahiran melalui aktiviti praktikal gamifikasi bagi memaksimumkan keberkesanan penyampaian latihan serta memberikan kefahaman tentang sistem koordinat langit.
Kursus ini memberi penekanan kepada pendekatan pembelajaran secara interaktif dan praktikal sejajar dengan perkembangan teknologi masa kini. Pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning) membolehkan peserta menggunakan aplikasi falak secara langsung dalam aktiviti luar antaranya melalui sesi pemerhatian langit waktu malam.
Peserta juga turut diberi peluang untuk membangunkan aplikasi falak dengan menggunakan elemen permainan untuk menentukan arah kiblat dan waktu solat. Peserta turut didedahkan kepada teknik astrofotografi, di mana mereka diajar mengambil gambar langit malam dengan betul menggunakan kamera khas, sesuai dengan tema falak yang dipelajari. Dengan gabungan kaedah-kaedah ini, peserta kursus bukan sahaja dapat memahami teori falak, tetapi juga menguasai kemahiran teknikal dan praktikal yang diperlukan untuk membangunkan aplikasi gamifikasi falak yang inovatif.
Majlis penutupan kursus telah disempurnakan oleh Puan Shukreyah binti Zawawi, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Pusat Kecemerlangan Kepimpinan Islam (PKKI) yang mewakili Pengarah Kanan ILIM.