Paroi, 1 Oktober - Sempena dengan Perasmian Penutup Seminar Emansipasi OKU Zon Selatan : Santuni Penuh Hikmah yang berlangsung pada 1 Oktober 2024 di Dewan Besar Pusat Dakwah Islamiah Paroi, Negeri Sembilan, YB Senator Dr. Zulkifli bin Hasan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dengan jayanya turut melancarkan Buku i-KALAM iaitu Kaedah Pembelajaran Asas al-Quran untuk golongan orang pekak.
Buku i-KALAM ini merupakan suatu kaedah mengenal pasti huruf-huruf hijayyah melalui isyarat jari yang ditunjukkan berdasarkan bentuk huruf dan titik yang terdapat pada huruf-huruf hijayyah. Pada asasnya terdapat 29 huruf hijayyah, oleh kerana terdapat beberapa perubahan bentuk huruf hijayyah dalam al-Quran, maka kaedah i-KALAM ini telah membuat penambahan isyarat bagi huruf tersebut yang menjadikan keseluruhan huruf hijayyah 36 isyarat huruf.
Pembangunan aplikasi ini adalah hasil kerjasama JAKIM melalui ILIM dan NGO OKU melalui Persatuan Orang Pekak Negeri Sembilan, NESDA dengan membentuk satu kumpulan yang dikenali sebagai IN-SAFF untuk menghasilkan satu kaedah Pembelajaran Asas al-Quran kepada golongan Muslim Pekak Dewasa.
Turut hadir di majlis ini ialah Encik Amin Zuhaili bin Mansor, Presiden NESDA dan Ustazah Nor Safina binti Zainal, Pengarah Kanan ILIM.