Paroi, 1 Oktober 2024 - Emansipasi merujuk kepada pembebasan paradigma atau pemberian hak kesetaraan (adil) terhadap komuniti Orang Kurang Upaya (OKU). Di dalam sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai kategori masyarakat seperti negara kita Malaysia, agama Islam turut dianuti oleh pelbagai golongan termasuk Orang Kurang Upaya (OKU). Golongan ini lazimnya amat memerlukan pembelaan dan pemberdayaan dalam pelbagai aspek. Ajaran Islam tidak membezakan umatnya sama ada yang dilahirkan sempurna ataupun memiliki kelainan upaya dan kekurangan.Malahan hak golongan tersebut untuk mendapatkan peluang mempelajari agama serta mengikuti program-program dakwah boleh dinikmati seperti masyarakat yang lain. Peluang seperti ini penting agar golongan istimewa ini juga dapat menjadi muslim yang mengamalkan ajaran agamanya dengan sempurna.
Rentetan daripada itu Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Utama Bangi,Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Jelebu, dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan rasa penuh tanggungjawab telah menganjurkan Seminar Emansipasi OKU Zon Selatan : Santuni Penuh Hikmah yang berlangsung pada 1 Oktober 2024 di Dewan Besar Pusat Dakwah Islamiah Paroi , Negeri Sembilan bermula dari 7.30 pagi hingga 1.00 petang.
Objektif kursus ini adalah untuk menjelaskan kepada peserta berkaitan hakikat ketidakupayaan menurut perspektif Islam dan maqasid syariah. Selain itu kursus ini dapat menerangkan peranan dan sumbangan agensi serta masyarakat dalam memastikan kelestarian pembangunan & kesejahteraan hidup komuniti OKU juga mempraktikkan kaedah dan teknik berkesan dalam menyantuni kepelbagaian kategori OKU. Dengan mengenengahkan pengenalan kepada 7 golongan OKU iaitu Kurang Upaya Pendengaran, Kurang Upaya Penglihatan, Kurang Upaya Pertuturan, Kurang Upaya Fizikal, Kurang Upaya Pembelajaran, Kurang Upaya Mental dan Kurang Upaya Pelbagai pastinya dapat menambahkan ilmu 260 peserta yang menyertai kursus ini. Sasaran peserta kali ini terdiri daripada kakitangan Awam dibawah pentadbiran kerajaan negeri dan persekutuan,pelajar IPTA/IPTS, Jabatan Pendidikan Negeri serta orang awam.
Program ini dimulakan dengan slot pertama iaitu Inovasi Inklusif iSIGN : Peranan ILIM yang disampaikan oleh YBrs.Dr.Fazlulaini binti Mohd Yunus, Penolong Pengarah Kanan Seksyen Tarbiyyah wa Tadribiyyah (ILIM),manakala slot kedua bertajuk Mesej ‘Abasa pula disampaikan oleh YBrs.Prof. Madya Dr. Haji Norakyairee bin Mohd Raus, Pengarah Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan seterusnya slot terakhir yang bertajuk Jiwa Khidmat disampaikan oleh YBrs.Prof.Madya Dr. Noornajihan binti Ja’afar, Felo Kanan Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Perasmian penutup Seminar Emansipasi OKU Zon Selatan : Santuni Penuh Hikmah telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Senator Dr. Zulkifli bin Hasan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dengan jayanya.
Semoga program kali ini akan dapat menambah ilmu pengetahuan tentang golongan OKU serta memudahkan urusan barisan hadapan terutama kakitangan di Jabatan Agama Islam Malaysia.