Lahad Datu, 26 September 2024 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Lahad Datu, JAKIM melalui Program Kecemerlangan Pengurusan Hal Ehwal Islam (PKPHEI) telah menganjurkan Kursus ‘Ilaj Syar‘ie (Lanjutan Akhir) pada 24 – 26 September 2024 bertempat di Bilik Kuliah Yusuf al-Qardhawi, ILIM Kampus Lahad Datu. Kursus yang dijalankan selama tiga hari dua malam ini merupakan lanjutan dan kesinambungan daripada kursus yang telah dilaksanakan pada tahun lalu dan sebahagian besar peserta yang terlibat merupakan peserta yang telah mengikuti siri-siri kursus sebelum ini.
Antara objektif utama pelaksanaan kursus ini adalah untuk memberi pendedahan berkenaan konsep rawatan dan pengubatan Islam yang sebenar menurut syarak. Selain itu, para peserta juga didedahkan dengan kefahaman yang mendalam berkenaan Tibb al-Nabawi, khususnya melibatkan doa-doa dan lafaz ruqyah sebagai terapi penyembuhan diri. Isu-isu dan permasalahan yang berkait dengan sihir, saka, santau dan sebagainya juga diberi penekanan agar para peserta dapat memahami dan membezakannya sekali gus dapat memberikan rawatan dan ikhtiar pengubatan yang tepat.
Seramai 38 orang peserta menghadiri kursus yang dijalankan ini. Rata-ratanya dalam kalangan Imam Kariah/Rawatib, Pengamal ‘Ilaj Syar‘ie, penjawat awam dan juga komuniti setempat dari beberapa daerah iaitu Lahad Datu, Tungku, Kinabatangan dan selainnya.
Terdapat lapan slot yang diketengahkan sepanjang berlangsungnya kursus ini. Antaranya, Pengenalan i-Syifa’, Pengenalan Akta 775; Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari 2016, Kaedah & Pendekatan Rawatan Menurut Syarak, Tibb al-Nabawi; Doa & Ruqyah Sebagai Terapi Penyembuhan Diri dan sebagainya lagi. Kursus ini juga menampilkan dua orang penceramah yang tidak asing lagi dalam bidang Pengubatan Islam, iaitu Ustaz Abd Razak bin Hamdin; Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Syariah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan juga Ustaz Abdul Halim bin Zakaria; Pengerusi Persatuan ‘Ilaj Syar‘ie Malaysia.
Rata-rata peserta yang ditemui menzahirkan penghargaan dan rasa syukur kerana dapat mengikuti kursus ini sedari awal sehinggalah ke akhirnya. Lebih mengujakan, para peserta juga dibekalkan panduan, rujukan dan himpunan ayat bacaan al-Ruqyah al-Syar‘iyyah dalam melaksanakan rawatan dan pengubatan Islam.
Semoga kursus yang dilaksanakan ini berjaya mencapai objektif yang digariskan serta dapat diteruskan lagi penganjurannya pada tahun-tahun mendatang.