WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :

Lahad Datu | 3-5 September 2024

Program Kecemerlangan Pengurusan Hal Ehwal Islam (PKPHEI), Institut Latihan Islam Malaysia Kampus Lahad Datu, JAKIM telah menganjurkan Kursus Tahsin Qiraah Al-Quran 2.0 yang berlangsung selama tiga hari dua malam, bermula pada 3 hingga 5 Mei 2024 yang lalu. Kursus ini dihadiri oleh 40 orang peserta yang terdiri daripada imam-imam dan masyarakat awam di sekitar daerah pantai timur Sabah.

Objektif utama penganjuran kursus ini adalah untuk memberikan pendedahan berkenaan kaedah bacaan al-Quran yang sebetulnya menurut riwayat Hafs ‘an ‘Asim. Hal ini sekali gus mampu meningkatkan kualiti bacaan ayat-ayat al-Quran para peserta ke suatu tahap yang lebih baik. Selain itu, para peserta juga didedahkan dengan adab-adab, etika berinteraksi dan hukum-hukum tajwid yang seharusnya diambil berat dalam membaca al-Quran.

Antara tajuk yang diketengahkan sepanjang kursus ini adalah Pengenalan Tanda-Tanda Bacaan Dalam Al-Quran, Hukum Nun Mati & Tanwin, Hukum Mim Mati, Hukum Mad & Jenis-Jenisnya, Klinik al-Fatihah & Surah Lazim, Makhraj & Sifat-Sifat Huruf dan Konsep Waqaf & Ibtida’.

Semoga dengan terlaksananya kursus ini membuahkan manfaat dan kebaikan yang besar kepada para peserta dalam mempelajari, menekuni seterusnya mendampingkan diri dengan wahyu agung yang diturunkan ini. Sesungguhnya al-Quran itu menjadi pelindung di akhirat kelak sebagaimana sabda Nabi SAW, "Bacalah al-Quran kerana al-Quran itu akan memberi syafaat kepada pembacanya di akhirat kelak."