Pada 26 Ogos 2024, JAKIM telah menyertai Persidangan Antarabangsa Majlis Tertinggi Bagi Hal Ehwal Islam Republik Arab Mesir Kali Ke-35 yang berlangsung di Kaherah. Persidangan ini bertujuan untuk membincangkan isu-isu penting berkaitan dengan pembangunan masyarakat Islam.
JAKIM diwakili oleh YBrs. Puan Nor Safina Zainal, Pengarah Kanan Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), yang telah menyampaikan sesi pembentangan bertajuk “Women’s Role In Shaping Social Reform”. Dalam pembentangan ini, YBrs. Puan Nor Safina menekankan peranan kritikal wanita dalam proses reformasi sosial, sambil mengetengahkan pelbagai inisiatif yang telah dilaksanakan oleh Malaysia untuk memperkasakan wanita dalam masyarakat. Pembentangan ini bukan sahaja memberi nafas baru kepada dimensi perbincangan persidangan tetapi juga memperkenalkan inisiatif Malaysia dalam memperkasakan peranan wanita di pentas antarabangsa, sekaligus menekankan komitmen negara dalam mencapai kesejahteraan sosial yang lebih inklusif.
Persidangan ini menjadi platform penting bagi negara-negara Islam untuk bertukar pandangan dan pengalaman dalam menangani cabaran-cabaran semasa yang dihadapi oleh umat Islam. Penyertaan JAKIM dalam persidangan ini mencerminkan peranan aktif Malaysia dalam mempromosikan dialog dan kerjasama di peringkat antarabangsa demi kemajuan ummah.