WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :

15 Ogos 2024, Bangi- Walaupun ramai sejarawan berpandangan Islam hanya sampai di Jepun pada abad ke-19, hubungan antara Jepun dengan negara-negara Islam sudah lama wujud sejak era kerajaan Bani Abbasiyyah lagi. Ini berdasarkan kewujudan set koleksi objek yang berasal dari Parsi dan Timur Tengah kepunyaan Maharaja Shomu yang memerintah dari 724 hingga 749 Masihi.

Selain itu, wujud hujah yang memberi pandangan Islam turut memberi kesan kepada reformasi agama Buddha Jepun yang diamalkan semasa lewat era Heian (1185-1333) dan era Kamakura (1185-1333). Tempoh reformasi ini juga selari dengan kemuncak hubungan perdagangan yang muncul dari Laluan Sutera antara kerajaan Abbasiyyah dengan negara-negara Timur Jauh termasuk Jepun.

Pada abad ke-15, sudah wujud hubungan perdagangan dan diplomatik antara Kesultanan Melayu Melaka dengan kerajaan Ryukyu. Terdapat pelbagai bukti yang memperlihatkan impak hubungan dua hala kedua-dua kerajaan itu seperti mesin tenun ikat yang dibawa ke Ryukyu semasa era Sultan Mansur Shah. Mesin tenun ini digunakan untuk menghasilkan kain Bingata, sejenis kain yang terkenal dengan kehalusan kualitinya sehinggakan industri tenun kain itu dibawa ke pulau-pulau besar Jepun sekitar abad ke-17 selepas Ryukyu didominasi oleh wakil Keshogunan Tokugawa, Shogun Satsuma.

Pada tahun 2003 pula, sebilah keris yang berukuran 22 cm dan mempunyai sembilan lok ditemui di Kuil Enkakuji berhampiran dengan Istana Shurijo bukan saja mengesahkan hubungan Melaka-Ryukyu tetapi juga mengesahkan kehadiran pelayar-pelayar Islam dari Nusantara di Jepun. Perkara ini pernah dinyatakan dalam satu artikel The Patriot tidak lama dahulu-sumber Islam in Minority Muslim Countries: A Case Study on Japan and Korea.

Setelah peredaran zaman berlaku hingga kini maka terukirlah sejarah penjajahan Jepun di tanah melayu yang tidak mungkin dapat dilupakan ,sudah tiba masanya usaha dakwah diteruskan dengan mendekati mereka dengan mempelajari bahasa ibunda mereka serta memahami budaya masyarakat Jepun.

Dengan kesedaran itu, Unit Tarbiyyah dan Tadribiyyah Program Pembangunan Insan Institut Latihan Islam Malaysia Kampus Utama Bangi seperti tahun lalu sekali lagi menganjurkan Kursus Asas Bahasa Dakwah : KONNICIWA JAPAN yang antara lain mempunyai objektif untuk meningkatkan keyakinan diri untuk berkomunikasi dan menyampaikan dakwah Islam kepada warganegara Jepun.

Kursus yang yang berlangsung selama 3 hari bermula 13 hingga 15 Ogos 2024 turut dihadiri oleh 44 orang peserta dari pelbagai latar belakang dan jabatan memfokuskan untuk mengenali dan menguasai kota kata Bahasa Jepun yang umum dalam interaksi sosial secara santun serta memahami sensitiviti dan pantang larang dalam dakwah kepada masyarakat Jepun. Di samping itu para peserta juga didedahkan kepada usaha-usaha dakwah kepada masyarakat Jepun, tempat-tempat yang menarik di Jepun dan makanan halal di Jepun.

Penceramah jemputan merupakan seorang anak melayu yang hebat latar belakangnya memegang ijazah sarjana muda,sarjana dan Doktor Falsafah(PhD) dalam bidang Pendidikan Bahasa Jepun. Beliau telah bermastautin di negara matahari terbit ini selama 12 tahun untuk mendalami bahasa dan budaya bangsa Jepun.Beliau adalah Dr.Mohd Ghazali bin Taib, Penolong Kanan Pentadbiran, Akademi Sains Pendang, Kedah. Dengan pengalaman luas beliau dalam pengajian Bahasa Jepun beliau tidak lokek mencurahkan ilmu beliau kepada semua peserta yang hadir.

Semoga Kursus Asas Bahasa Dakwah : KONNICIWA JAPAN pada kali memberi manfaat yang berguna kepada semua peserta dan diteruskan pada masa hadapan.