BESUT 08 Ogos 2024 – Seramai 22 orang pegawai yang bakal bersara wajib atau pilihan/ berumur 50 tahun ke atas daripada pelbagai skim di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN), Majlis Agama Islam Negeri (MAIN), Agensi di bawah YB Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Penjawat awam Gred 11 hingga Gred Utama C telah menyertai Kursus Pra Persaraan yang telah berlangsung selama 4 hari bermula dari 05 hingga 08 Ogos 2024 (Isnin – Khamis). Kursus ini telah dianjurkan oleh Seksyen Kompetensi Generik, Pusat Kecemerlangan Kepimpinan Islam (PKKI) dan Cawangan Khidmat Pengurusan Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Kampus Utama Bangi dengan kerjasama ILIM Kampus Besut (IKB) bertempat di Bilik Seminar Al-Ghazali, IKB.
Kursus ini bermatlamat antara lain untuk mempersiapkan peserta menghadapi transisi penting dari kehidupan profesional ke kehidupan persaraan dengan lebih lancar. Selain itu, kursus turut mendedahkan secara terperinci maklumat berkaitan faedah-faedah persaraan, merancang pengurusan kewangan, mengurus kesihatan dan permasalahan kehidupan supaya corak kehidupan selepas persaraan lebih bermakna lagi.
Seramai empat (4) orang penceramah yang berpengalaman luas telah dijemput untuk berkongsi ilmu pengetahuan dan kemahiran iaitu YBrs. Puan Nik Aduni Hazlin binti Nik Ariffin Penolong Pengarah, Bahagian Pencen JPA, YBrs. Dr. Jaharudin bin Padli Al-Banjari, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), YBrs. Dr. Tengku Bahiah bt Tengku Lih Pakar Perubatan Keluarga Pejabat kesihatan Daerah Besut dan YDH Sarjan Mohd Azhar bin Ibrahim, Penolong Penyiasat, Bahagian Siasatan Jenayah Kormersil (BSJKD) Ibu Pejabat Polis Daerah Besut.
Para penceramah telah memberikan pendedahan mengenai kesilapan yang sering dilakukan oleh para pesara dalam merancang pengurusan kewangan dan mengurus kesihatan. Pendedahan ini memberi peserta kesedaran yang lebih mendalam tentang betapa pentingnya merancang dengan teliti dan berhati-hati dalam pengurusan kewangan, polisi insurans dan merancang untuk kedatangan darurat selepas bersara. Dengan memahami kesilapan yang sering berlaku, peserta diharapkan dapat mengambil langkah-langkah proaktif untuk mengelakkan kesilapan dalam merancang kehidupan persaraan yang stabil dan sejahtera.
Para peserta juga aktif dalam sesi diskusi dan perbincangan, di mana mereka dapat berkongsi pengalaman, kebimbangan, dan harapan mereka mengenai masa depan selepas pencen. Ini memberi mereka peluang untuk memperluaskan jaringan sosial dan menyokong satu sama lain dalam memasuki fasa baru ini dalam kehidupan mereka.
Pada hari kedua kursus, para peserta telah menjalankan lawatan kerja ke Laman Warisan Kampung Laut, Tumpat, Kelantan dengan tujuan mendedahkan mereka kepada kemahiran keusahawanan. Ketibaan peserta disambut oleh YBrs. Tuan Farhan bin Ramli, Pengarah Urusan RS Serunding, yang telah mengusahakan perniagaan warisan tersebut di Kampung Laut selama lebih dari 40 tahun. Setibanya di Laman Warisan, peserta dibawa ke kilang pemprosesan serunding untuk melihat proses pembuatan produk. Lawatan diakhiri dengan sesi melihat bagaimana perniagaan dijalankan di Premis RS Serunding sebelum rombongan meneruskan perjalanan pulang ke IKB.
Majlis Perasmian Penutup kursus ini telah disempurnakan oleh YBrs. Puan Shukreyah binti Zawawi, Pengarah IKB bagi mewakili YBrs Puan Nor Safina binti Zainal, Pengarah Kanan, Institut Latihan Islam Malaysia, Kampus Utama Bangi. Dalam ucapan perasmian beliau telah menekankan kepentingan perancangan bagi memasuki fasa baru dalam hidup peserta iaitu fasa persaraan agar mempersiapkan peserta menghadapi dan menjalani transisi penting kehidupan persaraan yang produktif.
Turut hadir di majlis tersebut ialah penceramah jemputan YDH Sarjan Mohd Azhar bin Ibrahim serta seramai 22 orang peserta yang telah selesai mengikuti kursus tersebut.
Tahniah diucapkan kepada semua peserta yang berjaya menamatkan kursus ini. Diharapkan semoga kursus ini berjaya mencapai matlamatnya untuk mempersiapkan peserta secara holistik dan menyeluruh menghadapi cabaran dan peluang yang ada dalam kehidupan persaraan mereka nanti.




