WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :

Bangi,1 Ogos 2024 - Bahasa Arab merupakan bahasa al-Quran dan ia dipilih oleh Allah SWT untuk menjadi bahasa untuk dibaca oleh hamba-Nya dalam memahami sifat Kalamnya. Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam surah Yusuf ayat 2 yang maksudnya . “Sesungguhnya Kami menurunkan kitab itu sebagai al-Quran yang dibaca dengan bahasa Arab, supaya kamu (menggunakan akal untuk) memahaminya.”

Seksyen Tarbiyah dan Tadribiyah, Pusat Pembangunan Insan (PPI), Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Utama Bangi, telah menganjurkan Kursus Kemahiran Berbahasa Arab yang berlangsung selama empat hari, bermula pada 29 Julai 2024 hingga 1 Ogos 2024.

Objektif kursus ini adalah untuk memberi pendedahan kepada peserta dalam menguasai bahasa Arab mudah dalam perbualan harian,meningkatkan pengetahuan dan kesedaran berkaitan kepentingan penguasaan bahasa Arab dalam kehidupan seorang muslim dan memperkasakan jati diri untuk menggunakan bahasa Arab dalam perbualan harian berdasarkan situasi semasa serta turut didedahkan seperti kemahiran mendengar, kemahiran menulis, kemahiran membaca dan bertutur dalam bahasa arab. Hal ini supaya para peserta mengetahui cara dan kaedah sebenar untuk mengasah kemahiran berbahasa agar ilmu Bahasa Arab yang dipelajari suatu ketika dahulu tidak hilang ditelan zaman.

Seramai 54 orang peserta telah menghadiri kursus yang terdiri penjawat awam dari pelbagai latar belakang dan jabatan kerajaan persekutuan serta dari Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) . Antara pengisian dalam kursus ini adalah teknik membaca berita ,terjemahan , tatabahasa serta membina ayat dalam perbualan seharian. Medium kursus ini adalah berbentuk ceramah, perbincangan, pembentangan hasil kerja, kuiz ringkas dan aktiviti latihan.

Tenaga pengajar pula terdiri daripada pensyarah Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam Bangi iaitu YBrs.Ustaz Muhamad Shubki bin Hussin dan YBrs.Ustaz Masrur bin Ibrahim juga pensyarah dari Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas , Bandar Tun Razak iaitu YBrs.Ustaz Dr. Mat Nawi bin Mat Jusoh.

Semoga dengan terlaksananya kursus ini membuahkan manfaat dan kebaikan yang besar kepada para peserta dalam memahami bahasa arab ini sekali gus menjadi titik tolak ke arah penghayatan dan kefahaman terhadap wahyu teragung, al-Quran.