Bangi, 25 Julai 2024, Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Kampus Utama Bangi melalui Program Pembangunan Insan (PPI) telah menjayakan Seminar Siyasah Syar'iyyah Dalam Pentadbiran Negara yang bertemakan “Merealisasikan Malaysia Madani Berpaksikan Siyasah Syar'iyyah”.
Objektif seminar ini antara lainnya adalah untuk memberi dan meningkatkan kefahaman yang mendalam mengenai prinsip-prinsip Siyasah Syar'iyyah agar dapat diaplikasikan secara efektif dalam pentadbiran negara demi kesejahteraan rakyat dan keadilan sosial.
Seminar ini telah dihadiri oleh seramai 280 orang peserta yang terdiri daripada pelbagai skim dan gred pegawai perkhidmatan awam dan masyarakat awam.
Seminar ini menampilkan tiga (3) orang pembentang yang tidak asing lagi iaitu YBrs. Prof. Dr. Arieff Salleh bin Rosman, Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), YBrs. Dr. Abdul Muhaimin bin Mahmood, Bahagian Penyelidikan JAKIM dan YBrs. Ustaz Ahmad Fauwaz bin Ali @ Fadzil, Pengerusi Lajnah al-Irsyad MAIWP.
Tajuk yang hangat dibahaskan tadi antaranya adalah "Kepentingan Siyasah Syar'iyyah Dalam Merangka Dasar Malaysia Madani", "Malaysia Madani Mengikut Lensa Siyasah Syar'iyyah" dan "Pemahaman Serta Aplikasi Fiqh al-Ta'ayush Dalam Kesejahteraan Bernegara".
Seminar ini juga diserikan lagi dengan kehadiran Puan Nor Safina binti Zainal, Pengarah Kanan ILIM.
Semoga dengan terlaksananya seminar ini, dapat memberikan manfaat dan impak yang besar kepada semua peserta yang hadir dalam usaha untuk merealisasikan konsep Siyasah Syar'iyyah dalam organisasi masing-masing demi kesejahteraan ummah.