Bangi, 25 Julai 2024 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) JAKIM Kampus Utama Bangi melalui Seksyen Akidah dan Pemikiran Islam, Program Teras ILIM telah berjaya melaksanakan Kursus Kemahiran Dialog Isu-Isu Akidah Kontemporari (Intrafith Dialogue) yang berlangsung selama 3 hari bermula pada 23 Julai sehingga 25 Julai 2024.
Kursus ini adalah bermatlamat antara lainnya memberi input kepada peserta berkaitan konsep dialog isu-isu semasa agama melibatkan akidah dan pemikiran yang selaras dengan Al-Quran dan Al-Sunnah. Peserta juga dilatih mengaplikasi kemahiran dialog dengan mereka yang berbeza fahaman di kalangan umat Islam. Pada masa yang sama mereka perlu menjaga keharmonian dan perpaduan. Seramai 40 orang Pegawai Hal Ehwal Islam pelbagai gred dari JAKIM, JAIN, Jabatan Mufti, KAGAT, IPTA dan lain lain skim telah menyertai kursus ini.
Seorang penceramah yang pakar dalam bidang akidah Islam dan dialog isu-isu agama kontemporari telah dijemput untuk berkongsi ilmu pengetahuan dan kemahiran. Beliau adalah Dr. Mohd. Aizam bin Masúd dari Bahagian Pengurusan Halal JAKIM.
Kursus ini turut menjelaskan dengan terperinci syubhah-syubhah ajaran yang menyeleweng seperti ajaran sesat batiniah, Syiah dan liberal. Kursus ini menekankan agar aktiviti dialog isu-isu semasa agama dilakukan berterusan bagi mencegah sebarang salah faham, kekeliruan dan perselisihan di dalam masyarakat. Berbagai isu syubhah atau kekeliruan telah berlaku kebelakangan ini yang wajar diselesaikan dengan kaedah dialog yang berkesan.
Negara kita kerap terdedah kepada perselisihan dan konflik yang boleh menggugat perpaduan. Semoga kursus ini sedikit sebanyak telah dapat memperlengkapkan peserta dengan kesedaran, ilmu dan kemahiran berkaitan dialog isu-isu agama.