WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :

LAHAD DATU | 4 JUL 2024

Kursus yang dijalani selama tiga hari dua malam di ILIM Lahad Datu telah membuka minda peserta untuk mendalami ilmu pengurusan harta pusaka dengan lebih mendalam selain mendapat pendedahan berkaitan kaedah dan konsep fadaid, hibah dan juga wasiat.

Seramai 40 orang peserta menghadiri kursus ini. Rata-ratanya adalah penjawat awam di sekitar Pantai Timur Sabah seperti Kader JAKIM dan juga anggota beruniform melibatkan anggota PDRM, Jabatan Bomba & Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam, RELA dan lain-lain agensi.

Seramai tiga orang penceramah dijemput untuk memenuhi slot sepanjang berlangsungnya kursus ini. Mereka adalah Puan Abidah Ab Gani & Tuan Fairul @Khairuddin Mat Sulaiman daripada Mahkamah Rendah Syariah Lahad Datu, dan Tuan Mohd Amin bin Tenreng; Peguambela & Peguamcara dari sebuah firma guaman di Tawau.

Antara cuplikan yang sempat dipetik dalam salah satu slot berkaitan hibah, "Hibah itu daripada si hidup kepada yang hidup, sedangkan pusaka itu daripada si mati kepada yang hidup." Kenyataan ini sekali gus memberi gambaran bahawa konsep hibah dan pusaka berbeza sama sekali, sekalipun kedua-duanya melibatkan harta. Hidup dan mati itulah yang menjadi penentunya.

Ramai peserta memberikan maklumbalas positif kepada pihak penganjur dan berharap agar kursus-kursus seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang. Selain berlakunya proses pemindahan ilmu pengetahuan, hal yang utama di sebaliknya adalah ia dapat menguatkan lagi hubungan dan kerjasama antara jabatan.

Kursus berakhir dengan penyampaian sijil oleh Ybrs. Ust Ilham Hussainy bin Abdul Raup; Penolong Pengarah ILIM Kampus Lahad Datu sebagai tanda penghargaan kepada penceramah jemputan, dan kepada semua peserta yang berjaya mengikuti kursus sehingga ke akhirnya.