WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :

Lahad Datu | 16 Mei 2024 , Program Pembangunan Insan (PPI), Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Lahad Datu, JAKIM telah menganjurkan Kursus Pembangunan Pembimbing Muallaf yang berlangsung selama tiga hari dua malam, bermula pada 14 hingga 16 Mei 2024.

Objektif utama di sebalik penganjuran kursus ini adalah untuk memberikan pendedahan yang sewajarnya kepada para pembimbing yang merupakan rujukan utama para muallaf dalam mempelajari ilmu agama, juga memberi penekanan terhadap para pembimbing berkenaan kepentingan memahami konsep & kaedah pendekatan dakwah, metode pengajaran pendidikan Islam serta psikologi pendidikan muallaf yang sesuai dan bertepatan dengan realiti semasa. Di samping itu, peneguhan ilmu dan kefahaman agama juga menjadi antara objektif utama agar bimbingan yang terbaik dan berkesan dapat diberikan kepada para muallaf.

Seramai 39 orang peserta telah menghadiri kursus yang dianjurkan ini. Mereka terdiri daripada penjawat awam, para pembimbing muallaf daripada agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan, juga masyarakat awam. Para peserta juga memberi respon yang sangat positif semasa pembelajaran dan memberi komitmen penuh semasa program berjalan.

Empat orang penceramah telah diundang sebagai tenaga pengajar sepanjang berlangsungnya kursus ini. Antaranya, Sahibus Samahah Datuk Ustaz Haji Bungsu@Aziz bin Hj Jaafar; Mufti Kerajaan Negeri Sabah, Ustaz Mohammad Imran bin Yusuf; Penasihat Akademi Darul Mu’minin Daerah Lahad Datu, Ustaz Wan Azmi bin Wan Omar; Ketua Jabatan, Jabatan Pembangunan Latihan, IPG Kampus Tawau, dan Ustaz Ilham Hussainy bin Abdul Raup; Penolong Pengarah, ILIM Kampus Lahad Datu.

Rata-rata peserta yang ditemui berkata pengisian yang disampaikan sama ada secara teori mahupun amali dapat difahami dengan jelas sekali gus berjaya mencapai objektif yang disasarkan.

Semoga dengan terlaksananya kursus ini membuahkan manfaat dan kebaikan yang besar kepada para peserta dalam memenuhi tuntutan agama ini sekali gus membimbing muallaf berbekalkan ilmu yang sarat di dada, bukan ikutan semata-mata.