Lahad Datu | 16 Mei 2024 - Program Pembangunan Insan (PPI), Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Lahad Datu, JAKIM telah menganjurkan Kursus Kekeluargaan Islam yang berlangsung selama tiga hari dua malam, bermula pada 14 hingga 16 Mei 2024.
Objektif utama di sebalik penganjuran kursus ini adalah untuk mengukuhkan kefahaman berkenaan konsep perkahwinan dan kekeluargaan yang sebenarnya sebagaimana yang telah digariskan syarak, juga memberi pendedahan berkenaan kaedah pengurusan stres dan konsep komunikasi berkesan yang seharusnya dititikberatkan dalam sesebuah keluarga juga ditekankan dalam. Selain itu, antara objektif utama penganjuran kursus ini adalah untuk meningkatkan kemahiran pengurusan kewangan bagi menjamin kestabilan ekonomi sesebuah keluarga. Bimbingan dan panduan dalam mendidik anak-anak sedari kecil sehinggalah dewasa juga ditekankan agar mereka tetap dan kekal di atas jalan agama
Seramai 42 orang peserta telah menghadiri kursus yang dianjurkan ini. Sebahagiannya dalam kalangan penjawat awam, ahli aktif daripada beberapa badan bukan kerajaan, juga masyarakat awam. Para peserta juga memberi respon yang sangat positif semasa pembelajaran dan memberi komitmen penuh semasa program berjalan.
Empat orang penceramah telah diundang sebagai tenaga pengajar sepanjang berlangsungnya kursus ini. Antaranya, Ustazah Rajunah binti Radin; Pensyarah IPG Kampus Tawau, Encik Lajarudi bin Lajahidi; Pegawai Perkhidmatan Pendidikan di Pejabat Pendidikan Daerah Lahad Datu, Puan Yusnita binti Mohd Yusof; Pengurus Cawangan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) Lahad Datu, dan Puan Hamidah binti Hj Ab Razak; Penceramah Bebas.
Rata-rata peserta yang ditemui berkata pengisian yang disampaikan sama ada secara teori mahupun amali dapat difahami dengan jelas sekali gus berjaya mencapai objektif yang disasarkan.
Semoga dengan terlaksananya kursus ini membuahkan manfaat dan kebaikan yang besar kepada para peserta dalam memahami tuntutan agama ini sekali gus membentuk keluarga yang sakinah, mawaddah dan rahmah berbekalkan ilmu yang sarat di dada, bukan ikutan semata-mata.