WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :

Bangi, 16 Mei 2024 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) JAKIM Kampus Utama Bangi melalui Seksyen Akidah dan Pemikiran Islam, Program Teras ILIM telah berjaya melaksanakan Kursus Penghayatan Tasawuf dan Praktik Tazkiat An-Nafs yang berlangsung selama 3 hari bermula pada 14 sehingga 16 Mei 2024.

Kursus ini adalah untuk meningkatkan pengetahuan dan penghayatan peserta mengenai ilmu tasawuf dan tarekat menurut neraca Islam yang sebenar, serta melahirkan para pegawai yang berkemampuan menjawab isu-isu semasa berkaitan tasawuf dan tarekat. Seramai 31 orang Pegawai Hal Ehwal Islam daripada JAKIM, JAIN, Jabatan Mufti, agensi awam dan IPTA yang berminat telah menyertai kursus ini.

Seramai lima orang penceramah yang pakar dalam bidang tasawuf telah dijemput untuk berkongsi ilmu pengetahuan, kemahiran dan pengalaman tentang topik tasawuf dan tarekat. Mereka adalah Prof Madya Dr. Faudzinaim Hj. Badaruddin (Mufti Kerajaan Negeri Negeri Sembilan) Prof. Madya Dr. Muhammad Khairi Mahyudin (USIM), Prof. Madya Dr. Ahmad Najaa bin Mokhtar (USIM), Dr. Abdul Rahman bin Mahmood (UKM) dan Dr. Yusri bin Mohamad Ramli (UKM). Para penceramah telah memberikan penerangan tentang sejarah perkembangan tarekat-tasawuf di peringkat dunia, Malaysia, peranan ilmu tasawuf dalam pembangunan rohani dan menekankan aspek amali Tazkiat An-Nafs di dalam sesi-sesi ceramah.

Para penceramah memberikan penerangan yang jelas berkenaan perbezaan di antara tasawuf - tarekat yang benar dan yang menyeleweng. Melalui kursus ini juga, para peserta selaku penjawat awam memahami bagaimana menerap nilai, integriti dan akhlak mulia dalam diri bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan di agensi masing masing. Nilai ihsan adalah tahap kualiti diri muslim mukmin yang terbaik perlu diusahakan setiap masa dan ketika bagi kebaikan diri dan masyarakat.