WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :

KURSUS TAHSIN QIRAAH AL-QURAN 1.0

Lahad Datu, 9 Mei 2024 - Program Kecemerlangan Pengurusan Hal Ehwal Islam (PKPHEI), Institut Latihan Islam Malaysia Kampus Lahad Datu, JAKIM telah menganjurkan Kursus Tahsin Qiraah Al-Quran 1.0 yang berlangsung selama tiga hari dua malam, bermula pada 7 hingga 9 Mei 2024 yang lalu. Kursus ini dihadiri oleh 55 orang peserta yang terdiri daripada penjawat awam dan masyarakat awam di sekitar daerah Lahad Datu, Tungku, Tawau dan Sandakan.

Objektif utama penganjuran kursus ini adalah untuk memberikan pendedahan berkenaan kaedah bacaan al-Quran yang sebetulnya menurut riwayat Hafs ‘an ‘Asim. Hal ini sekali gus mampu meningkatkan kualiti bacaan ayat-ayat al-Quran para peserta ke suatu tahap yang lebih baik. Selain itu, para peserta juga didedahkan dengan adab-adab, etika berinteraksi dan hukum-hukum tajwid yang seharusnya diambil berat dalam membaca al-Quran.

 Antara tajuk yang diketengahkan sepanjang kursus ini adalah Pengenalan Tanda-Tanda Bacaan Dalam Al-Quran, Hukum Nun Mati & Tanwin, Hukum Mim Mati, Hukum Mad & Jenis-Jenisnya, Klinik al-Fatihah & Surah Lazim, Makhraj & Sifat-Sifat Huruf dan Konsep Waqaf & Ibtida’.

Semoga dengan terlaksananya kursus ini membuahkan manfaat dan kebaikan yang besar kepada para peserta dalam mempelajari, menekuni seterusnya mendampingkan diri dengan wahyu agung yang diturunkan ini. Sesungguhnya al-Quran itu menjadi pelindung di akhirat kelak sebagaimana sabda Nabi SAW, "Bacalah al-Quran kerana al-Quran itu akan memberi syafaat kepada pembacanya di akhirat kelak."