Bangi, 9 Mei 2024 –Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Kampus Utama Bangi telah berjaya menganjurkan Simposium Latihan Islam Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 bertempat di Dewan Datuk Mohd Shahir, Bangi. Simposium ini diadakan bertujuan untuk mewujudkan satu platform perkongsian idea, pengetahuan dan kepakaran dalam usaha merangka pendekatan dan hala tuju latihan Islam yang lebih strategik serta berimpak tinggi.
Bertemakan “Modal Insan Cemerlang Melestari Malaysia Madani”, simposium ini telah berjaya menghimpun seramai 200 orang peserta terdiri daripada pelbagai institusi latihan Islam, institut latihan awam di bawah JPA dan swasta, jabatan-jabatan kerajaan peringkat persekutuan, universiti awam, pegawai latihan institusi agama peringkat persekutuan dan negeri termasuk Majlis Agama Islam (MAIN), Jabatan Agama Islam (JAIN) dan Jabatan Mufti.
Program ini dimulakan dengan sesi penyampaian ucaptama oleh YBhg. Datuk Haji Misnu bin Haji Taha, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak merangkap Ahli Lembaga Penasihat ILIM dengan tajuk “Pemerkasaan Modal Insan Bertaraf Global”. Simposium kemudiannya disusuli dengan slot Diskusi oleh tiga (3) orang pembentang yang dijemput khas dari dalam dan luar negara iaitu:
1.Dr. Mohammed Farid Ali al-Fijawi, Chief Executive Officer Ulul Albab Islamic Institute New Zealand dengan tajuk pembentangan “KHAIR Leadership and Human Capital Values for Malaysia MADANI”.
2.YBrs. Tuan Mohd. Asri bin Mohamed Ali, Timbalan Pengarah Kanan, Bahagian Perkhidmatan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dengan tajuk “Strategi Pembangunan Modal Insan: Isu dan Cabaran.
3.YBrs. Puan Nor Safina binti Zainal, Pengarah Kanan ILIM dengan tajuk pembentangan “Pembangunan Perunding Latihan Holistik : Peranan Pusat Latihan Islam: Pemerkasaan Modal Insan Bertaraf Global”
Majlis perasmian simposium ini telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Senator Dr. Zulkifli bin Hasan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan turut dihadiri oleh YBhg. Datin Paduka Hajah Hakimah binti Mohd. Yusof, Ketua Pengarah JAKIM, YBhg. Tan Sri Dato’ Haji Othman bin Mustapha, Pengerusi Lembaga Penasihat ILIM, dan YBhg. Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam bin Mohamed Adil, Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).
Simposium ini turut menyaksikan pelancaran Standard Kualiti Pengurusan Latihan (SKPPL) dan Modul I-TAQWA (Islamic Training Consultation and Assessment for Quality Work Achievement). Setinggi-tinggi ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang telah menjayakan program ini. Semoga penganjuran program ini akan menjadi satu lonjakan ke arah mempertingkatkan perkhidmatan latihan hal ehwal Islam yang berkualiti dan berimpak tinggi.