WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :

Bangi, 6 Mei 2024 – Telah berlangsung Majlis Perasmian Program Eksekutif Pengurusan Hal Ehwal Islam (PEPHEI) Siri 1/2024 kepada Pegawai Hal Ehwal Islam Ehwal Islam Gred S41 dan S29 Lantikan Baharu JAKIM yang disempurnakan perasmiannya oleh YBhg. Dato’ Dr. Sirajuddin bin Suhaimee, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Turut hadir dalam majlis perasmian ini ialah YBhg. Dato’ Mohd Zaidi bin Ramli, Pengarah Kanan Bahagian dasar Kemajuan Islam Malaysia dan YBrs. Puan Nor Safina binti Zainal, Pengarah Kanan ILIM serta pegawai-pegawai kanan JAKIM dan ILIM.

Bermula 6 Mei hingga 7 Jun 2024, seramai 100 orang peserta yang terdiri daripada 76 orang lelaki dan 24 orang wanita daripada kalangan Pegawai hal Ehwal Islam Gred S41 dan S29 lantikan baharu JAKIM akan mengikuti PEPHEI Siri 1/2024 bertempat di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Kampus Utama Bangi. Program yang bersifat berpenginapan penuh (fully residential) ini menekankan aspek pembangunan pengetahuan, kemahiran, sahsiah dan spritual merupakan salah satu kursus Kompetensi Teras Utama yang diwajibkan sebagai sebahagian syarat untuk diperakukan oleh Ketua Perkhidmatan bagi tujuan pengesahan dalam perkhidmatan.

Dalam ucapan amanat perasmian, YBhg. Dato’ Dr. Sirajuddin bin Suhaimee mengingatkan para peserta supaya sentiasa cakna dengan peranan dan tanggungjawab yang digalas demi memelihara syiar Islam sebagai ad-Din dan reputasi serta imej institusi Islam supaya sentiasa disegani, dihormati, dipercayai dan kekal relevan dalam menghadapi apa jua cabaran situasi semasa. Beliau turut menasihatkan agar mempasakkan Nilai Bersama “JAKIM” iaitu Jatidiri, Amanah, Kerjasama, Itqan dan Mardhatillah dalam melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi selaras dengan peranan JAKIM selaku peneraju pengurusan hal ehwal Islam di Malaysia.

YBhg. Dato’ Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) JAKIM juga berharap agar peserta dapat menonjolkan imej dan potensi yang ada dalam diri, yakin diri dan konsisten mengorak langkah secara optimis, berani mencuba sesuatu yang baru serta bekerjasama dalam satu pasukan. Ini kerana pegawai baru ini umpama kain putih yang mampu mencorak masa depan yang lebih gemilang.

Dalam program selama lima (5) minggu ini, pelbagai pengisian dan aktviti telah disusun berkaitan dengan pembangunan kompetensi yang melibatkan sembilan (9) bidang Teras Perkhidmatan Hal Ehwal Islam yang merangkumi bidang Al-Quran dan Al-Hadith, Aqidah dan Pemikiran Islam, Dakwah dan Pembangunan Islam, Perundangan Islam, Penyelidikan dan Pembangunan (R&D), Muamalat dan Kewangan Islam, Tarbiyyah dan Tadribiyyah Islamiyyah, Pengurusan Halal dan Pengurusan Siyasah Syari’yyah, On The Job Training, Tafaqquh Fid Din, Penghayatan Tauhid dan Tasawwuf, Corporate Visit, Amal Jama’ie serta tugasan-tugasan samada berbentuk tugasan individu atau berkumpulan. Kesemua slot pengisian ini akan dikendalikan oleh para pembentang yang mempunyai kepakaran, pengetahuan dan pengalaman luas dalam bidang masing-masing yang terdiri daripada pegawai JAKIM, ILIM dan pihak luar bagi memastikan objektif program yang ditetapkan dapat dicapai.

Adalah diharapkan semoga para peserta dapat memberikan komitmen dan kerjasama yang baik di sepanjang program berlangsung. Semoga setiap perkongsian ilmu, pengetahuan, kemahiran dan pengalaman dalam program ini mampu diaplikasi dalam tugasan para peserta di penempatan masing-masing.