Bangi, 25 April 2024 | Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Utama Bangi melalui Program Pembangunan Insan (PPI) telah mengadakan Kursus Eksekutif Imam dan Muazzin bertempat di Bilik Kuliah Al-Khawarizmi, Blok Akademik B, ILIM Kampus Utama Bangi.
Kursus yang berlangsung selama tiga (3) hari bermula pada 23 hingga 25 April 2024 telah dihadiri oleh seramai 49 orang peserta yang terdiri daripada Pegawai Hal Ehwal Islam (PHEI) Jabatan Agama Islam Negeri seluruh Malaysia dan Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT). Kursus ini menggunakan sepenuhnya modul dan kepakaran ILIM.
Objektif perlaksanaan kursus ini antara lainnya bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan dan kefahaman peserta mengenai etika dan tanggungjawab Imam dan Muazzin dalam masyarakat selain meningkatkan penguasaan teknik-teknik suara dan azan yang betul dan tepat yang menjadi syiar kepada agama Islam.
Modul latihan ini meliputi Peranan Imam dan Muazzin dalam Membentuk Masyarakat, Pembentukan Imej dan Personaliti Imam dan Muazzin, Kepimpinan Imam berasaskan Siasah Syar' iyyah, Kemahiran Qiraatul Quran, Tatacara dan Teknik Alunan Azan, Fiqh Hukum Hakam Solat dan Penerokaan Ilmu Falak dari Kaca Mata Imam dan Muazzin .
Kursus ini menampilkan beberapa penceramah jemputan diantaranya YBhg. SS Tuan Haji Jamali bin Adnan dari Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, YBrs. Dr Khazri bin Osman (UKM), YBrs. Dr. Osman bin Rasip (UM), YBrs. Dr. Mohamad Redha bin Mohamad (UIS), YBrs Ustaz Haji Zulkifli bin Tukiman (ILIM), YBrs. Us Agku Bolkhizan bin A Ahmad Thani (ILIM), YBrs. Us. Muhammad Zuhri bin Mohd Yusoff (JAWI).
Majlis Perasmian penutup kursus ini telah disempurnakan oleh YBrs. Puan Nor Safina binti Zainal, Pengarah Kanan ILIM. Dalam ucaptama yang diberikan menyentuh beberapa aspek diantaranya Imam perlu ada ciri qawiyyul amin dalam usaha untuk imarahkan institusi masjid/ surau demi mewujudkan sebuah institusi masyarakat Islam yang bersatupadu dan harmoni. Begitu juga dengan peranan muazzin yang begitu penting dalam menyeru umat Islam mendirikan rukun Islam yang kedua. Ini jelas menunjukkan betapa peranan imam dan muazzin sangat penting yang menjadi qudwah kepada masyarakat.
Kursus ini mendapat maklum balas yang sangat baik dari kalangan peserta dalam usaha untuk memenuhi keperluan profesion sebagai imam dan muazzin yang mampu mengaplikasikan segala ilmu yang diperolehi dalam tugasan dan tanggungjawab dengan sebaiknya disamping mempunyai keperibadian yang mampu menjadi qudwah kepada masyarakat.
Untuk melayari info lanjut, layari pautan berikut : https://ilim.islam.gov.my/ms/ atau untuk info dan permohonan kursus layari pautan : https://itis.islam.gov.my/