Bangi, 5 Mac 2024 - Paradigma “emansipasi” sangat diperlukan dalam kajian sosial masa kini, lebih-lebih lagi apabila melibatkan komuniti minoriti sosial seperti OKU. Ini kerana, OKU telah lama tersisih daripada arus pembangunan negara sama ada dalam aspek pendidikan, pekerjaan, kesihatan, pengangkutan, politik dan sebagainya. Rentetan daripada itu Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) kampus utama Bangi dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan rasa penuh tanggungjawab telah menganjurkan Kursus Emansipasi OKU yang berlangsung selama 2 hari pada 4 Mac 2024 hingga 5 Mac 2024 di Dewan Datuk Mohd Syahir ILIM Kampus Utama Bangi.
Objektif kursus ini adalah untuk menjelaskan kepada peserta berkaitan hakikat ketidakupayaan menurut perspektif Islam dan maqasid syariah. Selain itu kursus ini dapat menerangkan peranan dan sumbangan agensi serta masyarakat dalam memastikan kelestarian pembangunan & kesejahteraan hidup komuniti OKU juga mempraktikkan kaedah dan teknik berkesan dalam menyantuni kepelbagaian kategori OKU. Dengan mengenengahkan pengenalan kepada 7 golongan OKU iaitu Kurang Upaya Pendengaran, Kurang Upaya Penglihatan, Kurang Upaya Pertuturan, Kurang Upaya Fizikal, Kurang Upaya Pembelajaran, Kurang Upaya Mental dan Kurang Upaya Pelbagai pastinya dapat mengubah persepsi 39 peserta yang menyertai kursus kepada golongan ini. Lebih-lebih lagi secara kebetulanterdapat peserta yang terlibat secara langsung dalam menguruskan ahli keluarga yang dikategorikan sebagai OKU.
Kursus ini dipimpin oleh Prof. Madya Dr. Haji Norakyairee bin Mohd Raus, Prof. Madya Dr. Noornajihan binti Jaafar dan Dr. Nurul Asiah Fasehah binti Muhamad dibantu oleh 4 orang fasilitator iaitu Cik Siti Ramna binti Khamaruddin, Cik Amalina binti Azhar, Rahmah Hayati binti Musa dan Nur Najiyah binti Muhamad Yusoff dari Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Semoga kursus kali ini akan dapat membuka minda masyarakat kepada komuniti OKU dan mengubah persepsi yang lebih baik terhadap mereka.