WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :

Bangi, 29 Februari – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Utama Bangi melalui Program Teras telah berjaya melaksanakan Seminar Sinergi Ilmu Al-Quran Dan Sains bertemakan ‘Kelestarian Al-Quran dalam Menyingkap Rahsia Kosmologi’ pada 29 Februari 2024 bertempat di Dewan Datuk Mohd Shahir, ILIM Kampus Utama

Bangi. Seminar ini telah dihadiri oleh seramai lebih 450 orang terdiri daripada para penjawat awam, individu dan ahli masyarakat yang berminat.

Seminar ini telah dimulakan dengan penyampaian ibrah al-Quran oleh Perunding Latihan ILIM dan diteruskan dengan tiga (3) ceramah oleh panel jemputan yang terdiri daripada para pembentang yang berkepakaran dan berpengalaman dalam bidang masing-masing. Pembentang yang dijemput ialah YBrs. Prof. Madya Dr. Ahmad Sanuzi Azmi (Timbalan Dekan Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah USIM) yang menyampaikan ceramah bertajuk ‘Observasi Alam Menerusi Lensa Al-Quran’, YBrs. Dr. Ahmad Irfan bin Ikmal Hisham (Pensyarah Universiti Malaysia Pahang) dengan perkongsian ilmu bertajuk ‘Alam Menurut Falsafah Sains Islam’ dan YBrs. Ustaz Syahmi Syazeril bin Azmi (Pengarah Urusan Tadabbur Centre Sdn. Bhd.) dengan tajuk ceramah ‘Pembangunan Minda Quranik Dalam Melestarikan Alam’.

Semoga seminar ini berjaya mencapai matlamatnya iaitu mampu meningkatkan kefahaman para peserta mengenai kemukjizatan al-Quran melalui penemuan sains berkaitan alam semesta dengan lebih mendalam lagi.