WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :

Bangi, 6 Februari 2024 – Telah berlangsung Majlis Perasmian Penutup Kursus Al-Qawiyy Al-Amin kepada Pegawai Hal Ehwal Islam Ehwal Islam Gred S41 dan S29 Lantikan Baharu JAKIM yang disempurnakan oleh YBhg. Datin Paduka Hajah Hakimah binti Mohd Yusoff, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Turut hadir dalam majlis perasmian ini YBhg. Dato’ Dr. Sirajuddin bin Suhaimee, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) JAKIM, YBrs. Tuan Hj. Ruslan bin Said, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM, YBhg. Dato’ Haji Zamani Ahmad bin Mansor, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) JAKIM, Puan Nor Safina binti Zainal, Pengarah Kanan ILIM, Pengarah-pengarah Bahagian JAKIM, wakil-wakil Pengarah Bahagian JAKIM serta pegawai-pegawai kanan JAKIM dan ILIM.

Bermula 2 hingga 6 Februari 2024, seramai 43 orang peserta yang terdiri daripada 33 lelaki dan 10 wanita daripada kalangan Pegawai hal Ehwal Islam Gred S41 dan S29 lantikan baharu JAKIM telah mengikuti Kursus Al-Qawiyy Al-Amin bertempat di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Kampus Utama Bangi. Program yang bersifat berpenginapan penuh (fully residential) ini merupakan salah satu kursus Kompetensi Teras Utama yang diwajibkan sebagai sebahagian syarat untuk diperakukan oleh Ketua Perkhidmatan bagi tujuan pengesahan dalam perkhidmatan.

Dalam ucapan amanat perasmian, YBhg. Datin Paduka Hajah Hakimah binti Mohd Yusoff mengingatkan para peserta supaya sentiasa cakna dengan peranan dan tanggungjawab yang digalas demi memelihara syiar Islam sebagai ad-Din dan reputasi serta imej institusi Islam supaya sentiasa disegani, dihormati, dipercayai dan kekal relevan dalam menghadapi apa jua cabaran situasi semasa. Beliau turut menasihatkan agar mempasakkan nilai kebersamaan serta menghayati “JAKIM SEJIWA” dalam melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi selaras dengan peranan JAKIM selaku peneraju pengurusan hal ehwal Islam di Malaysia.

YBhg. Datin Paduka Ketua Pengarah JAKIM juga berharap agar peserta dapat menonjolkan imej dan potensi yang ada dalam diri, yakin diri dan konsisten mengorak langkah secara optimis, berani mencuba sesuatu yang baru serta bekerjasama dalam satu pasukan. Ini kerana pegawai baru ini umpama kain putih yang mampu mencorak masa depan yang lebih gemilang.

Dalam kursus selama 5 hari ini, pelbagai pengisian dan aktviti telah disusun dan dikendalikan oleh fasilitator yang terdiri daripada pegawai JAKIM dan ILIM dalam memastikan objektif kursus yang ditetapkan dapat dicapai. Para peserta telah memberi komitmen dan kerjasama yang baik di sepanjang program berlangsung. Semoga setiap falsafah di sebalik aktiviti-aktiviti dalam kursus tersebut mampu diaplikasi dalam tugasan mereka di penempatan masing-masing.