WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :

Bangi, 8 Februari 2024 – Ilmu usul fiqh merupakan ilmu yang perlu difahami pengaplikasiaannya oleh pegawai hal ehwal Islam dalam menyelesaikan permasalahan hukum yang berkaitan dengan isu-isu semasa. Terdapat pelbagai isu perlu diselesaikan secara tuntas dan efektif selari dengan kemajuan teknologi dan revolusi industri masa kini. Isu baharu sentiasa timbul dan bertambah tanpa ada limitasi. Justeru dengan memahami ilmu usul fiqh akan mampu menyelesaikan pelbagai permasalahan semasa berlandaskan tuntutan syarak.

Menyedari keperluan terhadap kompetensi tersebut, Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) melalui Seksyen Penyelidikan dan Pembangunan Islam (R&D), Program Teras telah berjaya melaksanakan Daurah Usul Fiqh dalam Aplikasi Semasa pada 6 hingga 8 Februari 2024 bertempat di Bilik Ibnu Khaldun, Aras Bawah, Blok Akademik A, ILIM Kampus Utama Bangi melibatkan seramai 38 orang perserta majoritinya terdiri daripada pegawai Hal Ehwal Islam. Objektif perlaksanaannya bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pegawai hal ehwal Islam JAKIM, MAIN, JAIN, Jabatan Mufti dan agensi-agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana (Hal Ehwal Agama) mengenai kemahiran membaca dan memahami teks turath serta cara mengaplikasi kaedah-kaedah usul fiqh berdasarkan Kitab Matan al-Waraqat karya Imam al-Haramain ‘Abd al-Malik ibn Yusuf al-Juwaini al-Shafi.

Daurah pembacaan Dan syarahan kitab ini telah dibimbing oleh Dr. Mohammad Zaini bin Yahaya dan Dr. Muhammad Adib bin Samsudin yang merupakan Pensyarah Kanan Kluster Usul dan Fiqh, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia. Daurah selama tiga hari ini telah berjaya menyelesaikan perbincangan keseluruhan Matan Al-Waraqat yang mengandungi 12 halaman dari perspektif semasa agar peserta mampu memahami dan mengaplikasikan prinsip usul fiqh sebagai panduan dalam menyelesaikan permasalahan semasa yang dihadapi ketika melaksanakan tugas berkaitan perkhidmatan awam serta membantu membangunkan gerak kerja berlandaskan tuntutan syarak.