WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :

Bangi, 26 Januari 2024 – Bahagian Dakwah JAKIM dengan kerjasama Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) di bawah Program Pembangunan Insan dan Persatuan China Muslim Malaysia (MACMA) telah berjaya melaksanakan Kursus Imam China 2024 bertempat di ILIM Kampus Utama Bangi.

Kursus ini telah berlangsung selama 5 hari bermula pada 22 sehingga 26 Januari 2024 melibatkan seramai 24 orang peserta daripada beberapa wilayah di Negara China.

Matlamat penganjuran kursus ini antara lainnya adalah untuk meningkatkan pengetahuan dan kefahaman peserta berkaitan hal ehwal Islam antaranya aspek pengurusan ibadat solat, kepimpinan Imam dan pentadbiran masjid, dakwah, pengurusan jenazah dan pemahaman mengenai perbezaan mazhab. Pendedahan ini penting sebagai asas dan persediaan kepada peserta supaya dapat mendepani cabaran terutamanya perbezaan amalan dan fahaman mazhab bagi menjamin keharmonian hidup bermasyarakat.

Seramai lima orang penceramah jemputan yang berpengalaman luas telah diundang untuk membuat pengisian, berkongsi ilmu pengetahuan, kemahiran dan pengalaman sepanjang kursus ini berlangsung antaranya ialah Ustaz Muhd Redza bin Ahman, Ustaz Muaz bin Roslan, Ustaz Mohd Azahar bin Mohammad, Ustaz Shahrin bin Ahmad dan Ustaz Mohamad Nadzri bin Mustakim.

Kursus ini turut memberi penekanan mengenai kepentingan seni dakwah Islam seorang Imam dalam menerima perbezaan fahaman dan budaya ke arah usaha menarik minat masyarakat mendekati masjid yang merupakan tempat kesatuan umat Islam.

Kursus yang berlangsung di ILIM ini diakhiri dengan sesi penyampaian sijil dalam majlis penutupan yang telah disempurnakan oleh YBrs. Tuan Haji Kori bin Jusoh, Pengarah Kanan Bahagian Dakwah JAKIM. Turut hadir ke majlis ini ialah Dr. Hj. Ann Wan Seng, Pengerusi MACMA dan Prof Dr. Haji Mohd Ridhuan Tee, Naib Pengerusi MACMA.

Semoga kursus ini memberi manfaat besar buat bekalan para peserta Imam China apabila pulang ke negara mereka nanti.