Bangi, 30 November - Pengarah Kanan Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Puan Nor Safina Zainal telah menerima kunjungan hormat daripada Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) bertujuan merapatkan ukhuwah di samping bertukar-tukar idea dan pandangan ke arah penambahbaikan dan pembangunan modul latihan sektor awam.
Kunjungan ini diketuai oleh Puan Shuhaila Ahmad Rozi, Ketua Seksyen Pengurusan Sumber Manusia, LADA.
Hadir bersama Ketua Penolong Pengarah Kanan, Cawangan Dasar Latihan, Puan Zaizurina Mansor , Ketua Penolong Pengarah Kanan, Pusat Kecemerlangan Kepimpinan Islam, Puan Adawiah Lias, Pendaftar ILIM, Encik Mohd Shahril Muhamad Azmi, Ketua Penolong Pengarah, Puan Zaharah Abas dan Encik Mohd Nazri Abdul Majid.
Delegasi LADA turut dibawa melawat Galeri Falak Syeikh Abdul Aziz An-Nayyiri , Falak Competency Training Centre (FALCOM), ILIM yang berkonsepkan inovasi dan kreativiti memaparkan 5 seksyen utama iaitu seksyen falak alam melayu, seksyen takwim hijri, seksyen arah kiblat & waktu solat, seksyen objek samawi serta seksyen artifak & audio visual.
Semoga kunjungan hormat ini dapat mengeratkan lagi hubungan di antara kedua-dua pihak serta dapat mengimarahkan pembangunan latihan Islam di negara ini. Insyaallah!