WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :

BANGI, 19 Oktober 2023 -Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Utama Bangi melalui Program Pembangunan Insan (PPI) telah menganjurkan Kursus Pengurusan Mualaf : Pra & Pasca Pengislaman bermula pada 17 September hingga 19 September 2023 bertempat di Bilik Kuliah Abdul Qadir Al-Jailani, ILIM Kampus Utama Bangi. Kursus tersebut dihadiri oleh 31 orang peserta yang terdiri daripada Pegawai Hal Ehwal Islam serta Pegawai Perkhidmatan Awam pelbagai skim dari seluruh Malaysia.

Kursus ini diadakan bertujuan bagi memberi pendedahan serta kefahaman mengenai proses dan prosedur pengislaman mualaf. Disamping itu, objektif yang disasarkan juga ialah untuk membekalkan kemahiran dalam pengurusan kebajikan dan bimbingan kepada mualaf dan memahami cabaran membina kemahiran menangani konflik yang berlaku pada mualaf.

Pelbagai tajuk yang telah dikupas antaranya ‘’Tatacara, Kaedah dan Penerangan Masuk Islam", "Pendaftaran Masuk Islam", "Pengajian dan Bimbingan Ilmu Mualaf", "Kebajikan Saudara Baru", "Memahami Cabaran Saudara Baru" dan "Memahami Psikologi Mualaf".

Kursus ini menampilkan Pn. Nur Aliyya Maisarah Orbanus binti Abdullah (JAWI), En. Mohd Nazar bin Ibrahim (JAWI), En. Muhammad Jais Mariappan bin Abdullah (PERKIM), En. Mohd Farhan Tee bin Abdullah (PERKIM), En. Wan Ahmad Faiq bin W. Adnan (Hidayah Centre Foundation) dan Pn. Nur Ain Sumaiyyah@Sumitra binti Valaitham (Hidayah Centre Foundation) sebagai pensyarah-pensyarah jemputan. Semoga kursus ini dapat menjadi pencetus paradigma dan semangat bagi peserta dalam menyampaikan dakwah kepada mualaf serta membela kebajikan mereka.