Besut, 12 Oktober - Institut Latihan Islam Kampus Utama Bangi JAKIM melalui Seksyen Pembangunan Sahsiah dan Organisasi, Pusat Kecemerlangan Kepimpinan Islam (PKKI) dengan Kerjasama Institut Latihan Islam Kampus Besut telah menganjurkan Program Transformasi JAKIM: JAKIM Sejiwa Ke Arah Merealisasikan Malaysia Madani kepada Pegawai Hal Ehwal Islam JAKIM (Gred S44).
Program ini diadakan pada 10 hingga 12 Oktober 2023 (Selasa-Khamis) bertempat di Institut Latihan Islam Malaysia Kampus Besut (IKB). Program ini diadakan bertujuan untuk memperkukuhkan semangat kerja berpasukan serta profesionalisme peserta dalam mendokong agenda kerajaan dan perkhidmatan hal ehwal Islam amnya.
Program ini telah dikendalikan sendiri oleh para fasilitator ILIM. Antara pengisian program ini ialah slot “Diskusi Transformasi: Kearah Kecemerlangan Pelapis Kepimpinan JAKIM” yang disampaikan oleh YBhg. Dato' Haji Razali bin Haji Shahabudin, mantan Timbalan Ketua Pengarah Operasi JAKIM.
Selain itu, Pengarah Kanan ILIM, Puan Nor Safina binti Zainal turut menyampaikan pengisian dalam slot Sharing Session. Sepanjang mengikuti program ini peserta telah memperoleh pengetahuan, pengalaman, kepakaran serta turut didedahkan dengan aktiviti outdoor yang dapat memantapkan mental, jasmani dan rohani ke arah pengukuhan sahsiah dan jati diri, ukhuwwah, keakraban dan budaya kerja berpasukan warga JAKIM.
Semoga penganjuran kursus ini dapat menjadi satu titik tolak ke arah proses penambahbaikan dalam organisasi dari aspek hubungan dan komunikasi. Peningkatan kualiti kerja merupakan satu usaha memartabatkan organisasi supaya menjadi lebih mantap dan bermutu, seterusnya memperkukuhkan kecemerlangan pengurusan hal ehwal Islam di Malaysia.