WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :

BANGI, 12 Oktober 2023 - Selari dengan Perlembagaan Persekutuan (Perkara 3) yang memperuntukkan agama Islam sebagai agama Persekutuan, amalan membaca doa dalam majlis-majlis rasmi merupakan suatu amalan yang sangat murni sesuai dengan kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi di negara kita. Bagi memastikan amalan ini dilaksanakan dengan teratur dan berkesan, Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) telah menganjurkan Kursus Kompetensi Penyediaan Teks dan Pembacaan Doa Majlis Rasmi pada 11 hingga 12 Oktober 2023 bertempat di ILIM Kampus Utama Bangi di bawah kelolaan Seksyen Siasah Syar'iyyah, Program Pembangunan Insan (PPI) ILIM. Penganjuran kursus ini selaras dengan hasrat untuk memberi pengetahuan dan kefahaman tentang peranan doa dalam sesuatu majlis rasmi, meningkatkan kemahiran menyediakan teks doa yang lebih teratur dan komprehensif serta mampu menyampaikannya secara efektif.

Kursus ini telah dihadiri oleh seramai 20 orang peserta dalam kalangan Pegawai Hal Ehwal Islam JAKIM, Pegawai Kader JAKIM, Pegawai agama dari Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN), Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan juga penyertaan dari peringkat kementerian dan agensi awam.

Bagi memastikan kursus ini mencapai objektifnya, ILIM telah menjemput barisan penceramah yang berkepakaran dan berpengalaman dalam bidang penyediaan dan penyampaian doa dalam acara majlis rasmi iaitu YBrs. Encik Mohd Azhani bin Samad dari Akademi Latihan Pengacaraan Malaysia dengan tajuk Pengurusan Etiket dan Protokol Majlis Rasmi, YBrs. Ustaz Mohd Nazri bin Mustakim dari Masjid Negara dengan tajuk Pengenalan Tentang Doa Majlis Rasmi, YBrs. Dr. Amru Alhaz bin Adnan dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dengan tajuk Garis Panduan Tatacara Pembacaan Doa Majlis Rasmi dan YBrs. Dr Mohd Erfino bin Johari dari Universiti Poly-Tech Malaysia dengan tajuk Teknik Penulisan dan Pembacaan Doa Majlis Rasmi (Teori dan Amali).

Sememangnya tugas seorang pembaca doa itu bukan suatu perkara yang mudah terutama dalam majlis rasmi yang ada protokol dan etiket yang perlu diketahui dan difahami oleh pembaca doa. Oleh kerana itu, JAKIM telah menerbitkan Garis Panduan Tatacara Membaca Doa Di Majlis-Majlis Rasmi bagi memudahkan seseorang pembaca doa untuk ‘mempersembahkan’ doa yang baik selari tujuan majlis dan mampu membangkitkan aura keinsafan dan kerendahan hati para pendengar.