Bangi,27 September 2023- Warga ILIM dengan jayanya telah memulakan langkah pertama dengan menyertai Kursus Asas i-Sign OKU Pendengaran Bagi Warga ILIM yang diadakan di Bilik Kuliah Ibnu Khaldun Blok Akademik A , Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Utama Bangi. Kursus yang berlangsung selama 2 hari bermula pada 26 September 2023 hingga 27 September 2023 dianjurkan oleh Seksyen Tarbiyah dan Tadribiyah (ILIM) dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Seramai 25 orang peserta terdiri dari warga ILIM Kampus Utama, Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak (IKMAS),Institut Latihan Islam Malaysia Lahad Datu dan Institut Latihan Islam Malaysia Kundasang dan juga turut disertai oleh Mantan Pengarah Kanan ILIM Tuan Haji Aminuddin bin Mohamad.
Kursus ini bertujuan untuk mendedahkan kepada peserta mengenai istilah-istilah ibadah dan kaedah asas komunikasi dengan komuniti orang kelainan upaya (OKU) pendengaran, kemahiran penggunaan Bahasa Isyarat dalam pendidikan Islam berkaitan perlaksanaan ibadah fardu ain serta menanam kesedaran kepada peserta mengenai tanggungjawab dakwah kepada komuniti OKU pendengaran dalam perlaksanaan ibadah seharian.
Kursus ini dipimpin oleh Dr. Haji Norakyairee bin Mohd Raus dan Tuan Noordin bin Hassan juga dibantu oleh 3 orang fasilitator iaitu Cik Siti Ramna binti Khamaruddin, Cik Amalina binti Azhar dan Cik Nur Syuhaidah binti Alimar Shidi dari Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) turut memberi pengajaran dalam bentuk latihan dalam kumpulan (LDK) pada hari kedua kursus tersebut. Antara faktor kepentingan Bahasa isyarat adalah ianya merupakan medium komunikasi yang dilakukan melalui pergerakan badan, tangan, dan bibir bagi menyampaikan sesuatu maklumat dan Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) merupakan bahasa rasmi bagi orang pekak di Malaysia. Bahasa ini juga telah termaktub dalam Akta Orang Kurang Upaya 2008 (Akta 685).
Semoga para peserta perintis pada kali ini akan memanfaatkan ilmu yang diperolehi dari Kursus Asas i-Sign OKU Pendengaran Bagi Warga ILIM sebagai Perunding Latihan Islam di Malaysia dan menyebarluaskan Bahasa Isyarat ini ke seluruh jabatan atau agensi terutamanya jabatan atau agensi agama.