WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :

Bangi,  27 September 2023 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) JAKIM Kampus Utama Bangi melalui Seksyen Akidah dan Pemikiran Islam, Program Teras ILIM telah berjaya melaksanakan Kursus Pemahaman Tasawuf dan Tarekat  yang berlangsung selama 3 hari bermula pada 25 sehingga 27 September 2023.

Kursus ini adalah bermatlamat  antara lain adalah untuk  meningkatkan pengetahuan dan kefahaman perserta mengenai ilmu tasawuf dan tarekat menurut neraca Islam yang sebenar serta melahirkan para pegawai yang berkemampuan menjawab isu-isu semasa berkaitan tasawuf dan tarikat. Seramai 32 orang Pegawai Hal Ehwal Islam daripada JAKIM, JAIN, Jabatan Mufti negeri-negeri telah menyertai kursus ini.

Seramai tiga orang penceramah yang pakar dalam bidang tasawuf telah dijemput untuk berkongsi ilmu pengetahuan, kemahiran dan pengalaman tentang topik tasawuf dan tarikat. Mereka adalah Prof. Madya Dr. Muhammad Khairi Mahyudin (USIM), Prof Madya Dr. Faudzinaim Hj. Badaruddin (UKM) dan Dr. Abdul Rahman bin Mahmood (UKM). Para penceramah telah memberikan pendedahan mengenai pembangunan rohani melalui pendekatan ilmu tasawuf, menjelaskan konsep-konsep utama dalam tasawuf dan tarekat serta mengariskan ciri-ciri tasawuf dan tarekat yang menyeleweng.

Kursus ini turut menjelaskan mengenai kepentingan ilmu tasawuf di samping ilmu akidah dan syariat kerana kebelakangan ini banyak isu berkaitan akhlak dan integriti timbul di dalam masyarakat yang antara lain berpunca daripada kurangnya penghayatan dan kesedaran nilai ihsan dalam diri seseorang. Di samping itu hal-hal berkaitan ajaran sesat juga kerap timbul dan dikaitkan dengan pengamalan tasawuf dan tarekat yang ditafsirkan secara salah oleh pengamalnya.

Melalui kursus ini juga para peserta selaku penjawat awam memahami bagaimana nilai dan integriti dapat diterapkan dalam diri seseorang sebagai natijah dari ilmu tasawuf serta memanfaatkannya bagi meningkatkan mutu perkhidmatan di agensi masing masing. Nilai ihsan adalah tahap terbaik yang perlu di miliki dan setiap individu muslim perlu berusaha mencapainya untuk kebaikan diri dan masyarakat.