Bangi, 24 September 2023 – Seiring dengan perkembangan semasa yang penuh dengan cabaran arus globalisasi dan pasca kemodenan, Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) selaku institusi yang bertanggungjawab dalam memperkasakan pembangunan modal insan khususnya dari aspek pembangunan latihan dan kompetensi perunding latihan Islam, ILIM telah menghantar empat (4) orang Perunding Latihan (ILIM) mengikuti Inter Religion Understanding Course di New Zealand. Kursus yang akan diadakan selama 15 hari merupakan Program Latihan Tenaga Pengajar Institut Latihan Awam (ILA) di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Inter Religion Understanding Course ini direka khusus untuk menggalakkan toleransi, empati dan pengetahuan kepada Perunding Latihan ILIM tentang kepercayaan dan amalan agama yang berbeza. Ia merangkumi topik seperti sejarah pelbagai agama, kepercayaan teras, ritual dan pengaruh budaya masyarakat tempatan yang bertujuan untuk memupuk rasa hormat menghormati, menggalakkan keharmonian dan kebersamaan dalam kalangan individu yang berbeza agama dan masyarakat yang pelbagai.
Sebagai salah satu usaha untuk memposisikan ILIM sebagai sebuah institusi latihan Islam yang lebih dinamik, ILIM ingin meneroka cabaran-cabaran baru untuk melahirkan jurulatih Islami yang berkemahiran dan berdaya tahan dalam menggalakkan toleransi beragama yang mampu menangani konflik kepelbagaian.
Hadir sama bagi sesi pelepasan pegawai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA2) ialah Puan Adawiah binti Lias, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Pusat Kecemerlangan Kepimpinan Islam bagi mewakili Pengarah Kanan ILIM. Bagi tujuan memohon keselamatan, perlindungan Allah SWT serta kelancaran sepanjang kursus, doa telah dibacakan oleh Ustaz Zulkifli Tukiman selaku ketua delegasi dan sedikit penyampaian tausiyah oleh Puan Adawiah binti Lias.