WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :

 

Bangi, 9 September 2023 - Majlis Sambutan Jubli Perak 25 Tahun ILIM yang dianjurkan pada hari ini adalah bertujuan untuk menghargai segala usaha yang telah disumbangkan oleh ILIM sejak tahun 1997. Majlis ini telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Hajah Hakimah Mohd Yusoff, Ketua Pengarah JAKIM. Hadir sama, Tuan Haji Ruslan Said, Timbalan Ketua Pengarah Operasi JAKIM, Tuan Haji Ahmad Fuad Apandi, Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan JAKIM dan Puan Nor Safina Zainal, Pengarah Kanan ILIM.

Bersesuaian dengan fungsinya sebagai sebuah institusi yang menyediakan latihan dalam pengurusan hal ehwal Islam di Malaysia, khususnya kepada semua pegawai dan kakitangan perkhidmatan hal ehwal Islam persekutuan dan negeri, juga penjawat awam umumnya, ILIM telah menyediakan pelan dan program-program latihan terbaik bagi melahirkan penjawat awam yang kompeten duniawi dan ukhrawi.

Dalam usia 25 tahun penubuhannya, diharapkan ILIM dapat memenuhi aspirasi umat Islam dan perkhidmatan awam negara yang ingin melihat kewujudan sebuah institusi latihan Islam yang bertanggungjawab sepenuhnya dalam bidang latihan Islam di Malaysia.

Bersempena dengan Sambutan 25 Tahun ILIM ini juga, turut diadakan perasmian Falak Competency Training Centre (FALCOM) iaitu sebuah galeri untuk tujuan program latihan falak di ILIM dan juga Urban Farm yang diusahakan oleh warga ILIM ke arah melestarikan alam sekitar. Terima kasih juga kepada pihak Maybank di atas sumbangan enam (6) buah basikal kepada ILIM untuk dimanfaatkan di pusat latihan ini.

Turut diadakan pameran dan jualan dari pelbagai agensi kerajaan dan swasta antaranya Jabatan Penjara Malaysia, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Pejabat Kesihatan Daerah Sepang, Tabung Haji, Bank Islam Malaysia Berhad,Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Malayan Banking Berhad (Maybank), Starbucks dan ExtraJoss. Semoga kerjasama dan hubungan strategik antara agensi kerajaan dan swasta ini akan terus diperkukuhkan.

ILIM akan terus memainkan peranan sebagai pusat latihan Islam yang terunggul bagi melahirkan pegawai perkhidmatan hal ehwal Islam yang kompeten, profesional, berhikmah, efisien dan berintegriti, bagi memastikan pengurusan hal ehwal Islam di negara ini terus cemerlang. Insya-Allah