WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :

Bangi, 9 September 2023- Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Utama Bangi telah melakar sejarah dengan penyempurnaan perasmian Galeri Falak Syeikh Abdul Aziz An-Nayyiri oleh YBhg. Datuk Hajah Hakimah binti Mohd Yusoff, Ketua Pengarah JAKIM sempena sambutan 25 tahun penubuhan ILIM. Perasmian ini turut disaksikan oleh YBhg. Tuan Haji Roslan bin Said (Timbalan Ketua Pengarah Operasi), YBhg. Tuan Haji Ahmad Fuad bin Apandi (Timbalan Ketua Pengarah Dasar) dan YBhg. Puan Nor Safina binti Zainal (Pengarah Kanan Ilim). Insiatif penubuhan galeri merupakan asas kepada pembangunan modul kompetensi profesionalisme falak yang disebut Falak Competency Training Center (FALCOM).

Galeri yang berkonsepkan inovasi dan kreativiti memaparkan 5 seksyen utama iaitu seksyen falak alam melayu, seksyen takwin hijri, seksyen arah kiblat & waktu solat, seksyen objek samawi serta seksyen artifak & audio visual. Replika al-Mizwalah (Jam Matahari) menggunakan ketepatan kedudukan geografi ILIM menampilkan pelbagai fungsi yang menarik seperti penentuan waktu dalam melaksanakan ibadah dan penentuan arah kiblat serta takwim buruj sebagai panduan dalam mengetahui perubahan musim. Sumbangan karya fotografi objek langit tempatan yang dirakamkan dari kawasan kadar pencahayaan tinggi oleh Dr. Muhammad Amri bin Abdul Karim (penggiat astrofotografi tempatan) telah menyerikan suasana galeri sebagai pusat latihan falak yang menarik.

Kejayaan perasmian galeri ini merupakan pemangkin ke arah melestarikan latihan ilmu falak dalam pelbagai bidang industri yang melibatkan pertanian, perikanan dan penternakan selain pengkhususan dalam ibadah. Semoga usaha daya cipta yang kreatif ini akan berkembang dengan jayanya sebagai perintis kesinambungan generasi falak alam melayu melalui latihan profesional hal ehwal Islam.

Maklumat lanjut boleh diperolehi melalui http://ilim.islam.gov.my/.../falak-competency-training.