WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :

Bangi ,  24 Ogos 2023 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) JAKIM Kampus Utama Bangi melalui Seksyen Akidah dan Pemikiran Islam, Program Teras dengan kerjasama Bahagian Penyelidikan JAKIM telah berjaya melaksanakan Kursus Risikan Akidah dan Pemikiran Islam  yang berlangsung selama 3 hari bermula pada 22 sehingga 24 Ogos 2023.

Kursus ini adalah merupakan “in-house training” bagi memenuhi fungsi tugas jawatan mengikut penempatan serta meningkatkan kompetensi dalam aspek kemahiran merisik, memantau, menyelidik dan menganalisa maklumat kepada pegawai dan kakitangan Bahagian Penyelidikan JAKIM dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN).

Di samping itu kursus ini dapat meningkatkan usaha perkongsian maklumat dalam menangani isu-isu semasa berkaitan hal ehwal agama Islam di dalam negara. Kemunculan isu-isu baharu semasa sama ada dalam aspek akidah dan syariah di media digital dan lapangan memerlukan kepada pemantauan dan tindakan segera. Lambakan isu-isu ini memerlukan kepada kemahiran yang mantap agar segala permasalahan dapat ditangani dengan segera dan sistematik. Seramai 29 orang PHEI gred S29 - S44 telah menyertai kursus selama 3 hari ini.

Seramai tujuh orang penceramah yang pakar dalam bidang masing-masing telah dijemput untuk berkongsi ilmu pengetahuan, kemahiran dan pengalaman tentang topik risikan akidah dan pemikiran Islam. Penceramah memberikan kefahaman dan kemahiran kepada peserta berkaitan ilmu perisikan, meningkatkan kefahaman kemahiran Gerak Saraf dan Perang Saraf (GSPS) dan membangunkan pemikiran analisis strategik dalam kerja-kerja penyelidikan.

Semasa berucap merasmikan penutupan kursus, YBrs. Dr. Muhammad Yamin bin Ismail, Pengarah Kanan, Bahagian Penyelidikan JAKIM turut menasihati peserta agar berterusan mengembangkan ilmu dan kemahiran bidang risikan serta berusaha memperkukuhkan jaringan kerjasama JAKIM dan JAIN demi menjaga akidah diri, keluarga, masyarakat dan negara.