WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :

Bangi, 15 Ogos: Lembaga Tabung Haji (TH) merupakan sebuah institusi Islam yang sentiasa berusaha untuk menyediakan pelbagai kemudahan secara komprehensif dan sistematik demi kebajikan Jemaah Haji Malaysia. Selain dari pengurusan simpanan yang halal dan pengurusan haji yang efisien, TH turut menjalankan aktiviti pelaburan bagi memberi nilai tambah kepada para pendeposit.

Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih dan penuh ucapan ta'zim di atas kesudian Lembaga Tabung Haji (TH) menerima kunjungan Pegawai Hal Ehwal Islam lantikan baharu JAKIM dalam acara Corporate Visit sempena Program Eksekutif Pengurusan Hal Ehwal Islam Gred S41 Siri 1/2023.

Objektif program ini dilaksanakan antara lain adalah untuk memberi pengetahuan  kepada peserta berkaitan fungsi dan peranan Tabung Haji dalam aspek pengurusan dan tatakelola perkhidmatan haji di negara ini khususnya. Sesi Corporate Visit ini diketuai oleh Puan Adawiah binti Lias, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Pusat kecemerlangan Islam Institut Latihan Islam Malaysia selaku Ketua Delegasi. Rombongan delegasi ini telah disambut mesra oleh YBrs. Tuan Hj. Ahmad Shahriman bin Johari, Pengurus Besar Bahagian Komunikasi Korporat Lembaga Tabung Haji bersama pegawai dan kakitangan Tabung Haji.

Program yang melibatkan seramai 80 orang peserta ini turut diserikan dengan persembahan video korporat Lembaga Tabung Haji diikuti dengan taklimat yang disampaikan oleh YBrs. Tuan Hj. Ahmad Shahriman bin Johari, Pengurus Besar Bahagian Komunikasi Korporat Lembaga Tabung Haji serta sesi soal jawab bersama peserta.

 Semoga Corporate Visit ini dapat meningkatkan kerjasama di antara kedua-dua belah pihak dan memperkukuhkan profesionalisme peserta dalam mendokong agenda perkhidmatan hal ehwal Islam.