WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :

BANGI 13 Julai 2023 - Meet & Greet Session Bersama YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sempena Program Eksekutif Pengurusan Hal Ehwal Islam Gred S41 Siri 1/2023 telah berlangsung dengan jayanya di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Utama Bangi, hari ini.

YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar sebagai panel telah sudi berkongsi idea dengan para peserta program berkenaan pelaksanaan tugas-tugas agensi agama dan isu semasa dalam sesi sembang santai ini yang dikemudikan oleh Tuan Mohd Hariri bin Mohamad Daud sebagai moderator.

Sesi ini dihadiri oleh YBhg. Datuk Hajah Hakimah binti Mohd Yusoff, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, YBhg. Dato' Dr. Sirajuddin bin Suhaimee, Timbalan Ketua Pengarah [Dasar] Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Puan Nor Safina binti Zainal, Pengarah Kanan ILIM, para tetamu jemputan yang terdiri daripada ketua-ketua agensi di bawah YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), pegawai-pegawai kanan JAKIM dan seramai 82 orang peserta yang sedang mengikuti Program Eksekutif Pengurusan Hal Ehwal Islam Kepada Pegawai Hal Ehwal Islam Gred S41 Lantikan Baharu JAKIM yang sedang berlangsung daripada 10 Julai 2023 hingga 30 Ogos 2023.

Objektif utama sesi ini adalah untuk memberi pendedahan kepada semua pegawai lantikan baru mengenai aspirasi YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang terkini dan meningkatkan profesion dan personaliti serta mutu penyampaian perkhidmatan PHEI supaya sentiasa selari dengan dasar kerajaan dan pihak yang telah diberi kuasa dan mandat mengetuai negara pada hari ini

Menerusi sesi ini, YB Menteri telah berkongsi berkaitan pengalaman beliau selama dua dekad berada dalam perkhidmatan awam khususnya di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JSKM) sebelum dilantik menjadi Menteri Agama atas perkenan Majlis Raja-Raja. Beliau menjelaskan bahawa berada di agensi Kerajaan khususnya dalam sistem pentadbiran Islam adalah sesuatu kelebihan berbanding bertugas di universiti dan agensi swasta. Justeru, beliau menggesa para pegawai lantikan baru untuk mengambil peluang ini dengan sebaik-baiknya untuk membuat penambahbaikan kepada sistem pentadbiran Islam dengan mengemukakan idea-idea yang lebih kritis dan kreatif bagi melonjakkan kredibiliti JAKIM dan mengangkat Gagasan Malaysia MADANI.

Dalam sesi ini beliau turut menjelaskan lima teras dan sepuluh fokus bagi menjayakan Pelan Transformasi Al-Falah:

“Pertama Pentadbiran Islam Mampan memfokuskan pengislahan dasar tadbir urus institusi Islam, dan pemantapan penyelidikan dan persuratan Islam.

 “Kedua Kesejahteraan Insan mendepani kemampanan ekonomi dan kebajikan sosial Islam, dan pengukuhan perpaduan ummah dan keharmonian tamadun.

 “Ketiga Kemuliaan Syariah tertumpu kepada memartabat perundangan dan kehakiman Islam, dan penghayatan nilai masyarakat Madani.

 “Keempat Kepimpinan Berdaya Cipta membangun pengukuhan kepimpinan generasi muda dan komuniti, dan pemerkasaan kesenian Islam.

 “Kelima Kehormatan Institusi Islam melalui penekanan keunggulan pendidikan Islam dan dakwah berhikmah, dan pemodenan prasarana institusi Islam.”

Semoga sesi ini dapat mengembangkan pengetahuan dan kefahaman para pegawai hal ehwal Islam lantikan baharu JAKIM berkaitan tugas dan tanggungjawab dalam memainkan peranan masing-masing dalam usaha untuk mengharmonikan dan mengurangkan ketegangan dalam kalangan masyarakat demi kehidupan yang aman dan membolehkan fokus kepada pembangunan dan kebaikan bersama.