Bangi, 11 Mei 2023 – Institut Latihan Islam Malaysia Kampus Utama Bangi semakin memainkan peranan penting dalam mengembangkan bidang penyelidikan Islam di negara ini. Salah satu usaha yang dilakukan oleh institut latihan ini ialah dengan menganjurkan kursus-kursus penyelidikan Islam bagi memastikan penyelidik dari pengurusan hal ehwal Islam yang berkualiti terus dihasilkan.
Kursus High Impact Conceptual Islamic Journal & Systematic Literature Review yang telah dilaksanakan pada 9-11 Mei 2023 bertujuan membekalkan para penyelidik dengan pengetahuan kertas konsep, kemahiran menyorot literatur secara sistematik dan teknik penulisan artikel penyelidikan yang berkaitan dengan bidang Islam. Para peserta kursus dilatih untuk memahami dan menguasai kaedah penyelidikan terkini dan mempelajari juga tentang etika serta integriti dalam penyelidikan.
Peserta kursus seramai 38 orang terdiri daripada pelbagai latar belakang bidang kajian yang diterokai dalam pengurusan hal ehwal Islam antaranya perkahwinan, halal, modul, usul fiqh, dan sebagainya. Mereka dibimbing oleh penceramah jemputan iaitu Dr. Noorazi bin Rani (Timbalan Ketua Jabatan Penyelidikan dan Inovasi IPGKBA), Dr. Amiyamin bin Haji Mohamad Yusop (Pensyarah Jabatan Pendidikan Islam dan Moral IPGKBA) dan Dr. Amnah Zanariah binti Abd Razak (Pensyarah Kanan Kolej GENIUS Insan USIM).
Dengan adanya kursus penyelidikan Islam ini, diharapkan akan muncul lebih ramai penyelidik-penyelidik berkualiti dan berkemampuan yang mampu memperkukuhkan dan memajukan pembangunan Islam di negara ini. ILIM juga akan terus membantu menganjurkan kursus penyelidikan Islam yang berimpak tinggi untuk memupuk semangat untuk mengkaji dan menulis kertas-kertas penyelidikan yang kemudian akan dipublikasikan di jurnal-jurnal akademik sebagai pembaharuan dan percambahan keilmuan Islam.