WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :

Bangi, 16 Mac 2023 - Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Utama Bangi melalui Program Teras dengan kerjasama Jabatan Mufti Negeri Selangor telah menganjurkan Kursus Falak Siri 1: Pembinaan Takwim Hijri pada 14 hingga 16 Mac 2023 bersamaan 21 hingga 23 Syaaban 1444H, bertempat di Bilik Multimedia, Blok Akademik A ILIM. Takwim ditakrifkan sebagai satu rekod perjalanan waktu atau sistem susunan masa, yang membahagikan tahun menjadi bulan, bulan menjadi minggu, minggu menjadi hari, hari menjadi jam, jam menjadi minit dan minit menjadi saat. Terdapat dua jenis takwim yang menjadi rujukan kepada masyarakat dahulu hingga sekarang iaitu Takwim Syamsiyah dan Takwim Qamariyah;

Kursus yang menfokuskan Takwim Qamariyah ini diadakan bagi tiga tujuan utama iaitu:

  • Memberi pengetahuan mengenai asas sains takwim
  • Memberi pemahaman mengenai kaedah penyediaan takwim dan
  • Memberi pemahaman penggunaan almanak falak dalam penyediaan takwim.

Antara kandungan kursus yang dibincangkan menggunakan pendekatan teori dan amali ialah Ilmu Asas Sains Takwim, Kaedah Hitungan Dan Penyediaan Takwim, Perbezaan Takwim Hijri Dan Miladi, Penentuan Waktu Solat Dari Aspek Astronomi, Hitungan Waktu Solat Menggunakan Almanak Falak dan Kaedah Penyusunan Takwim Waktu Solat. Setinggi-tinggi penghargaan kepada Encik Ahmad Taufan Bin Abdul Rashid, Penolong Pegawai Tadbir Kanan Balai Cerap UNISZA Dan Encik Haji Hardi Mohamad Sadali, Ketua Bahagian Falak, Jabatan Mufti Negeri Selangor yang telah memberi sumbangan dan khidmat sebagai penceramah kursus selama tiga hari ini. Semoga ilmu yang diperolehi melalui kursus ini dapat meningkatkan kompetensi para peserta di dalam bidang ilmu falak serta dapat diaplikasikan dalam mendepani tugasan.