WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :

Bangi│1 November 2022 – “…..Fahami peranan sebagai pegawai hal ehwal Islam melalui Islam agama bagi Persekutuan sepertimana Perkara 3 (1) Perlembagaan Malaysia.” Demikian ungkapan oleh YBhg. Datuk Hajah Hakimah binti Mohd Yusoff Ketua Pengarah JAKIM merangkap Ketua Perkhidmatan Hal Ehwal Islam ketika menyampaikan amanat sempena program Taaruf Day bagi meraikan 78 orang pegawai hal ehwal Islam Gred S41 lantikan baharu JAKIM di Auditorium al Syafie, Institut Latihan Islam Malaysia Bangi.

Ini selari dengan objektif program supaya pegawai lantikan baru ini diberi pengetahuan asas berkaitan fungsi dan peranan JAKIM sebagai agensi pusat dalam pengurusan Hal Ehwal Islam di Malaysia, juga berkaitan urusan-urusan perkhidmatan yang perlu dipatuhi oleh penjawat awam serta mencungkil kompetensi asas mereka dalam bidang teras perkhidmatan hal ehwal Islam yang berkaitan.

Program ini menjadi satu platform dan titik pertemuan yang cukup bermakna buat lantikan baru ini kerana dapat beramah mesra dengan barisan pengurusan tertinggi JAKIM yang turut hadir, antaranya YBrs. Dato’ Dr. Sirajuddin bin Suhaimee,Timbalan Ketua Pengarah Dasar, YBrs. Tuan Haji Ahmad Fuad bin Apandi, Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan, YBrs. Tuan Haji Ruslan bin Said, Timbalan Ketua Pengarah Operasi dan juga Pengarah-Pengarah Bahagian serta pegawai-pegawai kanan JAKIM.  Program ini juga sebagai langkah awal kepada pegawai lantikan baharu ini untuk mengadaptasi diri sebagai penjawat awam bagi skim perkhidmatan hal ehwal Islam.

YBhg. Datuk Ketua Pengarah juga menaruh harapan yang cukup tinggi agar lantikan baru ini mampu menggalas amanah yang besar ini demi masa depan ummah di samping memartabatkan tadbir urus pengurusan hal ehwal Islam secara efisyen dan bijaksana dalam mendepani pelbagai isu yang mencabar berkaitan pengurusan hal ehwal Islam.