Bangi│ 28 Oktober - Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Kampus Utama Bangi melalui Kluster Pengurusan Hal Ehwal Islam (KPHEI) dengan kerjasama Bahagian Agama dan Kaunseling (BAKA) Jabatan Penjara Malaysia telah menganjurkan Kursus Metodologi Dakwah pada 25 hingga 27 Oktober 2022 bersamaan 28 Rabiulawal hingga 1 Rabiulakhir 1444H, bertempat di Bilik Kuliah Ibn Khaldun, Blok Akademik A ILIM. Kursus ini telah disertai seramai 40 orang peserta yang terdiri daripada pegawai Kader JAKIM dan Pembantu Guru Agama Islam (PGA) Gred S19-S29 dan KA19-KA22 yang bertugas di seluruh institusi penjara seluruh Malaysia.
Kursus yang berlangsung selama tiga hari dua malam ini memuatkan slot-slot dakwah yang menarik termasuk Dai’e Milenia, Tekno Dai’e, Parlimen Daié dan Psikologi Dakwah. Para peserta turut didedahkan dengan dakwah di lapangan yang dilaksanakan di pasar raya IOI City Mall menerusi slot Explorasi Dakwah. Antara metodologi dakwah yang dijalankan di sana ialah eksperimen dakwah berkenaan Al-Quran, uji tulisan jawi, temu bual tentang Rasulullah dan juga edaran risalah berkaitan Islam. Slot-slot nurani juga dilaksanakan sepanjang kursus seperti Qiamullail dan Laman Nurani.
Semoga semua mutiara yang diperolehi melalui kursus ini dapat diaplikasikan dalam mendepani tugasan mahupun kehidupan harian.