WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :

Lahad Datu, 27 September - Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Lahad Datu telah mengadakan Kursus Profesionalisme Imam Siri 2 Secara Dalam Talian pada 26 hingga 27 September 2022 bertempat di Bilik Kuliah Ibnu Rusyd. Kursus ini disertai oleh 35 peserta yang terdiri daripada Perkhidmatan Hal Ehwal Islam, Imam dan Masyarakat awam telah mengikuti program berkenaan daripada Daerah Lahad Datu, Tungku, Semporna, Kunak, Tawau, Kinabatangan, Beluran, Sandakan, Telupid, Kota Kinabalu, Penampang, Papar dan Labuan.

Kursus ini diadakan bertujuan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran peserta mengenai tugas dan tanggungjawab seorang imam dalam aspek pengurusan masjid dan kemasyarakatan, meningkatkan sahsiah dan keterampilan diri imam sebagai teladan (qudwah hasanah) serta melahirkan imam yang profesional dalam melaksanakan tugasannya.

Perkongsian ilmu disampaikan oleh dua (2) orang penceramah iaitu Ustaz Sahijuan bin Sariul, Pegawai Penyelaras Masjid JHEAINS Daerah Kinabatangan dan Ustaz Mohammad Imran bin Yusuf, Penceramah Umum Bertauliah dan Guru Al-Quran Bertauliah, Majlis Ugama Islam Sabah. Kursus secara dalam talian yang berlangsung selama dua (2) hari ini membincangkan tentang Etika Profesion Imam, Peranan dan Tanggungjawab Seorang Imam, Akauntabiliti : Kaitannya Dengan Hari Akhirat dan Tahsin Bacaan Qiraat.

Semoga kursus yang bermanfaat ini berjaya mencapai matlamat dalam memberi kemahiran kepada peserta berkenaan profesionalisme imam serta melahirkan peserta yang berilmu dan berkemahiran dalam tugasan.