Lahad Datu, 20 September - Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Kampus Lahad Datu, JAKIM telah menganjurkan Kursus Penyampaian Khutbah Berkualiti Siri 2 Secara Dalam Talian pada 19 hingga 20 September 2022. Kursus ini telah disertai seramai 21 orang peserta yang terdiri daripada Imam dan juga terbuka kepada semua masyarakat di Bilik Kuliah Ibnu Rusyd, Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Lahad Datu.
Pelaksanaan kursus ini adalah memperkasakan ilmu pengetahuan yang dimiliki mengenai penyampaian khutbah, meningkatkan kemahiran membaca khutbah dengan baik serta membina keyakinan untuk bertutur dan berkomunikasi dengan baik.
Kursus ini dikendalikan oleh Ustaz Sahijuan bin Sariul iaitu seorang Pegawai Penyelaras Masjid, JHEAINS Daerah Kinabatangan yang menyampaikan tajuk Institusi Khutbah dan Peranannya, Fiqh Khutbah. Ustaz Mohammad Imran bin Yusuf, selaku Penceramah Umum Bertauliah menyampaikan Ceramah Penyampaian Khutbah Berkesan dan Berkualiti serta Teknik Penulisan Berkesan. Penceramah banyak memberi panduan dan teknik dalam penyampaian khutbah berkualiti secara dalam talian, disamping itu turut memberi peluang kepada peserta untuk mengemukakan pandangan dan pengalaman masing-masing secara interaktif dalam talian.
Peserta telah memberikan maklumbalas yang sangat baik di atas penganjuran yang dilaksanakan. Semoga peserta dapat menyampaikan khutbah di masjid dengan baik dan giat aktiviti keagamaan dan kerohanian dalam masjid.