Lahad Datu, 7 Julai – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Lahad Datu telah menganjurkan Kursus Sembelihan Halal pada 5 hingga 7 Julai 2022 di Bilik Kuliah Ibnu Rusyd, ILIM Kampus Lahad Datu.
Kursus yang dijalankan bertujuan untuk memberi kesedaran kepada umat Islam untuk melakukan ibadah korban dengan melakukan penyembelihan ternakan korban mereka di rumah-rumah sembelih yang diluluskan dan berlesen serta meningkatkan kemahiran kepada umat Islam agar aktiviti penyembelihan korban dapat dijalankan dengan lebih teratur, bersih dan mengambil kira kebajikan haiwan dan keselamatan makanan.
Seramai 49 orang peserta terdiri dari imam-imam Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), guru-guru KAFA dan masyarakat awam, di sekitar daerah Tawau, Kunak, Semporna, Lahad Datu, Tungku, Kinabatangan, Beluran, Telupid, Tongod dan Sandakan.
Penceramah yang dijemput bagi menjayakan kursus ini ialah Ustaz Al Aliuddin Atal bin Hisyamuddin, Guru Pendidikan Agama Islam, Sk Brumas, Tawau, Ustaz Rafidzan bin Abd Razak, Penyelia Agama Felda Wilayah Sahabat, Lahad Datu dan Pn. Aza Azlin binti Suparman, Pegawai Jabatan Perkhidmatan Veteriner, Kota Kinabalu. Mereka merupakan penceramah dan pegawai yang mempunyai banyak pengalaman dalam pengurusan penyembelihan halal.
Kursus ini mendedahkan kepada peserta berkaitan konsep penyembelihan dalam Islam, teknologi terkini penyembelihan, isu-isu berkaitan penyembelihan halal dan garis panduan pelaksanaan ibadah korban dan aqiqah dan amali sembelihan. Semoga kursus ini dapat memberi sedikit ilmu yang bermanfaat sebagai panduan dalam memahami dan mengaplikasi ilmu untuk kepentingan jabatan dan agensi masing-masing. Seterusnya dapat menyebarkan maklumat kepada seluruh masyarakat.